Monday, November 15, 2010

Bab 15: Pengakuan Seorang Puteri

§        §        §
Prabhava memiliki suatu macam ketegasan jiwa yang halus sifatnya namun tidak gentar dengan sebarang ancaman, diiringi dengan semangat dan keghairahan yang terkawal sopan, yang mengundang kehadiran bukan sahaja golongan lelaki gagah berani ke sisinya, tetapi juga golongan wanita anggun dan cantik jelita.

Demikian Kembang Sri Wangi mengimbau kembali, kepada Isabelle yang ketika itu baru sahaja menjadi menantunya, tatkala suatu perbualan mesra di antara mereka berdua. “Ia suatu sifat yang lembut dan sederhana bagi seorang pahlawan, namun kesannya tetap menawan terhadap setiap orang yang menghampirinya. Prabhava membuat Bunda terkenang kembali kepada nenda Bunda sendiri.”

Kini puteranya, Shakranta, seperti telah mewarisi sepenuhnya segala sifat-sifat itu, fikir Isabelle. Seorang lelaki yang sunguh menakjubkan. Isabelle tidak pernah dapat berhenti daripada mengaguminya. Dan Shakranta membuat Isabelle terkenang kembali kepada nenda dirinya sendiri.

§        §        §
“Kanda,” Isabelle menyapa suaminya.

“Ya, Dinda,” Shakranta menyahut. “Ada apa, Dinda?”

“Kekadang … Dinda tertanya-tanya diri sendiri … mengapakah agaknya Kanda tidak pernah bertanya asal usul dan susur galur Dinda secara lebih terperinci.”

“Oh, itu sahaja? jawab Shakranta. “Dinda … sebabnya ... Kanda sudah menerima dan mencintai Dinda seperti seadanya … dan … Kanda tidak mahu mengungkit-ungkitkan lagi sebarang perkara lama … yang … mungkin menyinggung perasaan Dinda ... ataupun melukai hati Dinda.”

“Tapi … bukankan itu … asal usul dinda itu ... sesuatu yang penting untuk anak cucu kita nanti? Tidakkah mereka ingin tahu nasab dan susur galur mereka di sebelah jurai Dinda?”

“Mmmm … memang ada benarnya kata Dinda itu. Baiklah … kalau Dinda sendiri merasakan ia penting ... ceritakanlah kepada Kanda.”

“Nenek Dinda, Meredith, wanita biasa daripada kalangan orang keramaian. Namun datuk Dinda, Putera Bryhann, daripada golongan bangsawan Sakhsun. Dia berkerabat rapat dengan Raja Ethelred II, raja negeri Enghel Land ketika itu. Semasa zaman pemerintahan Ethelred, negeri Enghel Land sering berperang dengan negeri Danmark.”

“Agak menarik kisah ini. Teruskan, Dinda.”

“Alfred bapa Dinda … dan Philippa ibu Dinda … mereka tertangkap dan ditawan semasa satu serangan orang Danmark … dan dibawa balik ke Danmark … ke istana Raja Sweyn I … lalu dijadikan abdi. Manakala … Dinda pula … ditawan bersama nenek Dinda di kampong halaman asal kami di Somerset selang beberapa lama kemudiannya oleh lanun-lanun Berber dari kawasan utara Benua Hitam … dan dibawa mereka ke Byzantium untuk dijual di sana.”

“Lalu apakah yang berlaku seterusnya kepada nenek Dinda?”

“Lanun-lanun itu tidak melayani Meredith dengan baik kerana dia hanya seorang wanita tua. Mereka sekadar membiarkannya terus hidup di kapal mereka hanya kerana dia seorang tabib. Maka dia boleh mengubati lanun yang uzur atau cedera. Lantaran itu … dia jatuh sakit semasa dalam pelayaran ke Byzantium … dan meninggal dunia. Lanun-lanun itu … mereka juga berlaku kejam terhadap Dinda. Hingga … suatu hari … mereka … ”

Mata Isabelle mula beransur merah dan berair. Beberapa titis air mata berkembang di birai matanya ... meniti pipinya … lalu mengalir jatuh ke lantai. Shakranta merapati isterinya, memeluknya erat, mengusap pipi serta rambutnya dan mengesat matanya.

“Shushhhh,” bisik Shakranta meredakan kepiluan isterinya. “Dinda sudah selamat sejahtera sekarang. Lupakanlah semua itu. Segala-galanya sudah berlalu. Ia kini perkara lama. Kini tiada sesiapa yang mungkin menyakiti Dinda lagi.”

Untuk beberapa ketika kedua mereka tidak berkata apa-apa. Yang satu tiba-tiba memerlukan kasih sayang, kemanjaan, kepastian dan perlindungan. Yang satu lagi memberikan semuanya dengan penuh rasa kecintaan.

“Sungguh hebat,” ujar Shakranta. “Memang seperti yang Kanda sangka … sedari kita pertama bertemu. Kerana … walaupun Dinda ketika itu seorang abdi … pembawaan serta perilaku Dinda … agak berlainan … jauh lebih anggun … lebih terkawal … dan lebih tersusun … daripada abdi yang lain. Cuma … mengapakah Dinda terlalu berahsia dan tidak memberitahunya lebih awal kepada Kanda?”

“Kerana … Kanda sendiri tidak pernah bertanya … dan juga … kerana Dinda ingin menguji sejauh mana … ketulusan cinta Kanda kepada Dinda. Kalaulah Dinda memberitahu Kanda lebih awal … bagaimanakah Dinda dapat pasti akan ketulusan itu?”

“Maksud Dinda?”

“Maksud Dinda ... kiranya Kanda tahu terlebih dahulu ... tidak mustahil bahawa ... Kanda hanya ingin mengahwini Dinda sekadar kerana keturunan Dinda ...”

“Dinda memang seorang wanita yang bijaksana. Dan seperti yang Dinda janjikan kali pertama kita bertemu … Dinda memang telah membawa tuah yang hebat kepada Kanda.”

“Maksud Kanda?”

“Tuah yang Dinda bawa adalah … puteri kita … Chinta Kirana … serta kedamaian dan kesejahteraan jiwa yang tidak pernah terbayang oleh Kanda sebelum kehadiran Dinda dalam hidup Kanda.”

“Kanda masih lagi ingat kata-kata Dinda itu rupanya,” ujar Isabelle.

“Sudah tentu. Kerana ia kata-kata yang terbit pada kali pertama kita bertemu.”

Isabelle merenung suaminya dengan senyuman penuh bahagia.

“Mengapa Dinda merenung Kanda begitu?”

“Kerana Dinda merasa amat bahagia saat ini. Dan Dinda ingin menzahirkan kebahagiaan itu pada diri Dinda … dan berkongsinya bersama Kanda.”

“Dinda!”

“Mari, Kanda. Janganlah Kanda menghampakan Dinda. Bukankah seorang suami yang pengasih itu sentiasa menunaikan sebarang permintaan isterinya?”

“Sungguh benar kata Dinda itu … dengan syarat … ia membawa kebaikan kepada mereka berdua.”

“Kanda!”

Begitulah keadaannya … suasana hidup yang sentiasa penuh kasih sayang. Berselingan dengan gurau senda yang menyingkirkan rasa bosan, di antara Isabelle dan Shakranta.

§          §          §          §          §          §          §          §          §          §          §          §          §
§          §          §          §          §          §          §          §          §          §          §          §          §
“Kanda,” sapa Isabelle.

“Ya, Dinda.”

“Ini sambungan kepada kisah semalam … yang belum Dinda maklumkan kepada Kanda … kerana Dinda baru teringatkannya,” ujar Isabelle.

“Apa itu, Dinda?”

“Di antara kita berdua … walaupun mungkin sukar dipercayai … sebenarnya … adalah bertemu nasab daripada jurai zuriat yang sama nun jauh di masa silam.”

“Dinda bergurau … kan?”

“Tidak, Kanda … Dinda bersungguh-sungguh.”

“Baiklah. Daripada jurai yang mana pulak tu?”

“Jurai Yazdegerd Shah I, iaitu ayahanda kepada Putera Arta Khshathra ataupun Panglima Sudakh Shina, iaitu nenek moyang Kanda.”

“Dinda!”

“Benar, Kanda. Meredith, nenda Dinda ... dia mewarisi zuriat Puteri Gerberga von Henneberg, ratu wilayah Swabia di negeri Germania. Puteri Gerberga itu pula bersusur galur daripada Puteri Izdundad, puteri kepada Yazdegerd Shah III, raja Parsi wangsa Sassan, dan permaisuri baginda, Puteri Manayanha dari Byzantium.”

“Yazdegerd Shah III berkahwin dengan seorang puteri Byzantium? Tapi ... bukankah Parsi itu sering berseteru dengan Byzantium?”

“Benar, Kanda. Namun, pada suatu ketika, kerajaan Parsi wangsa Sassan berserta kerajaan Byzantium kedua-duanya terancam oleh kebangkitan orang-orang Arab Islam. Maka kedua mereka terpaksa berdamai dan berpakat seketika ... lalu Maharaja Heraklius, maharaja Byzantium mengahwinkan seorang cucunya, Puteri Manayanha, iaitu anak kepada Maharaja Konstantin III, dengan Yazdegerd Shah III. Maka Puteri Manayanha itu menjadi permaisuri kedua kepada Yazdegerd Shah III.”

“Seterusnya?”

“Yazdegerd Shah III itu adalah cicit kepada Yazdegerd Shah I. Nah … ini buktinya … catatan ringkas yang memperihalkan susur galur keluarga kami … peninggalan Nenda Meredith kepada Dinda …yang mujurnya masih ada pada simpanan Dinda.”

“Sungguh mengagumkan. Tapi ... bagaimana pula sesuatu sehebat itu boleh berlaku?”

“Selepas kerajaan Yazdegerd Shah III ditewaskan oleh bala tentera Arab Islam pimpinan Khalid ibnu al-Walid, puteri-puteri baginda yang tidak sempat melarikan diri semuanya menjadi tawanan perang. Misalnya, Puteri Shahr Banu, dikahwinkan dengan Saiyidina Hussain, putera kepada Saiyidina Ali. Manakala Puteri Izdundad pula dianugerahkan oleh Saiyidina Umar kepada Bustenai ben Haninai, seorang penyandang jawatan Resh Galuta … iaitu Ketua Masyarakat Buangan di kalangan kaum abdi Yahudi di Parsi ... lalu dikahwini oleh beliau. Kalangan Resh Galuta itu pula, mereka dikatakan semuanya bersusur galur daripada Raja Daud … yang juga adalah seorang raja kaum Bani Israil di zaman silam. Kerana itu … sungguhpun para Resh Galuta daripada golongan kaum buangan … mereka dilayani dengan baik serta penuh hormat oleh pihak pemerintah. Sama ada di zaman kerajaan Babilani, mahupun kerajaan Parsi, ataupun kerajaan Arab Islam.”

“Hebat, hebat,” ujar Shakranta. “Bermakna Dinda juga bersusur galur daripada Raja Daud. Teruskan lagi, Dinda.”

“Seorang cicit Izdundad dan Bustenai … namanya Natronai al-Makhir … tertewas kepada sepupunya Judah Zakkai dalam pertandingan merebut jawatan Resh Galuta … lalu merantau membawa diri ke barat ... ke sebuah negeri bernama Frankia. Dia akhirnya berkahwin dengan Puteri Alda, bonda saudara Raja Karlo Magna … raja gemilang negeri Frankia itu … lalu dilantik menjadi pembesar wilayah Toulouse dengan memakai gelaran Duke Theodoric. Maka anak-anak mereka telah berkahwin dan beripar-duai dengan golongan kerabat diraja di negeri-negeri dan wilayah-wilayah yang bersahabat … hingga akhirnya lahirlah Puteri Gerberga von Henneberg daripada salah seorang daripada mereka itu.”

“Sungguh menakjubkan. Bermakna ada lagi dua perkara hebat yang baru kini terserlah.”

“Apakah itu, Kanda?”

“Bahawa … Dinda juga daripada zuriat seorang maharaja Byzantium yang di zaman remajanya gemar bertarung satu lawan satu dengan singa liar.”

“Maharaja Heraklius I. Kanda tahu tentang itu?”

“Kanda gemar mengkaji sejarah silam. Patutlah zuriatnya juga pandai menjinakkan sepasang anak harimau.”

“Alah ... Kanda ni. Dah mulalah tu. Kita pula yang disindirnya.”

“Tidak begitu, Dinda,” ujar Shakranta sambil tersenyum selamba. ”Kanda memang benar-benar mengagumi bakat semula jadi Dinda. Kerana Dinda ... seperti memiliki kemampuan luar biasa ... untuk mententeramkan ... dan ... menjinakkan ... sebarang haiwan dengan begitu mudah.”

“Termasuk haiwan yang ... kadang-kadang tu ... macam susah nak tidur di waktu malam, kan?”

“Ha ha ha,” Shakranta tertawa kecil dengan gurauan senda isterinya. “Dinda ni. Sekarang Dinda pula yang menyindir Kanda.”

“Ha! Tu la ... kan dah kena, kan? Dan ... apakah perkara yang satu lagi itu, Kanda?” tanya Isabelle.

“Bahawa … Dinda juga daripada zuriat Panglima Kambujiya.”

“Bagaimana pula begitu?”

“Kerana Ardeshir Shah ... pengasas wangsa Sassan itu ... bukankah berketurunan daripada wangsa Hakhamanish? Dan wangsa Hakhamanish itu pula ... bukankah bersusur galur daripada Panglima Kambujiya?”

“Oh, ya,” tingkah Isabelle. “Terlupa pula Dinda. Itulah antara tanda hebatnya Pencipta kita …  Tuan dan Pentadbir bagi seluruh alam. Dengan kemahuan-Nya    ikan di laut … asam di darat … di dalam belanga bertemu juga. Shakranta di timur … Isabelle di barat … di bumi Byzantium bersua jua.”

“Amboi ... pandainya Dinda berpantun,” ujar Shakranta.

“Dinda kan sudah menjadi orang Langkasuka, bukan?” balas Isabelle.

No comments:

Post a Comment