Friday, December 3, 2010

20: Membina Negeri Sejahtera


§        §        §
“Kanda Shakranta,” Permaisuri Isabelle bersuara.

“Ya, Dinda. Ada apa tu?” suaminya, Raja Shakranta, membalas.

“Bagaimana tentang pangkalan kedua dan ketiga yang sedang Kanda bina … semuanya berjalan lancar?”

“Kedua-duanya beres, Dinda. Tiada masalah besar … dan sedang maju mengikut perancangan. Mengapa Dinda bertanya?”

“Ohhh, tidak ada apa-apa, Kanda. Sekadar mengikuti perkembangan. Pangkalan ketiga itu letaknya di Pergunungan Lojing kan?”

“Ya, benar.”

“Dinda dengar tempat itu nyaman dan dingin cuacanya. Ingin benar rasanya Dinda untuk berkunjung ke sana.”

“Tepat sekali … kerana ia terletak di aras bumi yang amat tinggi. Cuacanya … kalau ketika malam hingga ke awal pagi … seakan-akan waktu musim bunga di Byzantium … setakat yang teringat oleh Kanda.”

“Ohhh! … alangkah seronoknya kalau kita dapat tinggal di sana sekali sekala.”

“Bersabarlah Dinda. Impian Dinda akan tertunai sedikit masa lagi. Andai tiada aral melintang … pangkalan kedua di Lembah Nenggiri Ulu akan siap untuk didiami dalam tempoh tiga purnama … dan pangkalan ketiga di Pergunungan Lojing … sekitar enam purnama lagi.”

“Kanda … mmm … bagaimana pula dengan kawasan di hilir?”

“Belum pula lagi Kanda terfikir ke arah itu. Dinda ada apa-apa cadangan?”

“Dinda sekadar terbayang sekali sekala … mungkin ada baiknya kalau dipertimbangkan usaha membina sejujukan pangkalan di arah hilir.”

“Teruskan, Dinda.”

“Satu pangkalan di kawasan muara sungai … mungkin di Tumpat atau Palekbang sebagai contohnya … yang harus kita perbesarkan lagi pelabuhannya yang sedia ada. Dan satu lagi di sekitar pertengahan laluan sungai … di antara Tumpat dan Tanah Merah ini. Di samping menjadi markas barisan hadapan pasukan pertahanan kita, kedua-duanya juga boleh hidup berdiri sebagai pusat perdagangan … yang terjamin dari segi keselamatannya. Ia akan membantu memesatkan lagi usaha memakmurkan negeri kita. Lagipun … andainya negeri kita diserang dari arah muara … pasukan pertahanan kita akan dapat digerakkan lebih awal … untuk menghadang kemaraan pihak musuh sebelum mereka sampai terlalu jauh ke hulu.”

“Hebat, Dinda. Teruskan lagi.”

“Maka itu mungkin boleh mengelakkan Kubu Dharmakusuma dan Mahligai Dharmakusuma yang diwarisi keluarga Dharmakusuma sejak zaman-berzaman di Bukit Panau ini daripada hancur musnah akibat serangan musuh. Seperti yang berlaku ke atas Keraton Watu Galuh di Kota Turiyyan … di negeri Medang Mataram ... malah Kandalah orangnya yang membantu Maharaja Mara Vijaya mengatur usaha menghancurkannya, kan? Maka para pedagang dan saudagar yang berkunjung … jika kita melayani mereka dengan baik dan adil … mereka akan menjadi  sahabat kita … dan secara tidak langsung boleh menjadi pengintip dan perisik tidak rasmi bagi pihak kita … berhubung sebarang niat serong daripada pihak luar.”

“Dan lagi, Dinda.”

“Maka dengan berkembangnya setiap pangkalan merangkap pusat perdagangan itu, akan meramaikan lagi jumlah penduduknya … dan daripada tempiasnya pula jumlah penduduk keseluruhan negeri … yang akan memungkinkan pembesaran angkatan tentera kita … lalu akan memperteguh lagi pertahanan negeri kita.”

“Dinda! Syabas! Akal Dinda menandingi akal seorang panglima. Mengapakah Dinda tidak mengusulkan semua ini kepada Kanda lebih awal lagi dari ini?”

“Mmmm … entahlah, Kanda. Dinda sekadar seorang permaisuri … Dinda tidak mahu mencampuri urusan kepanglimaan dan ketenteraan … dan … Dinda khuatir nanti dikata orang … mengada-ada pula.”

“Tidak, Dinda. Janganlah Dinda terlalu merendah diri. Dinda bukan permaisuri sembarangan. Dinda adalah Permaisuri negeri Langkasuka Kelantan Amdan Negara. Permaisuri pembawa seri kepada Mahligai Dharmakusuma. Mahligai yang bakal menghidupkan kembali warisan kerajaan Chi Tu zaman silam dengan sepenuh kegemilangannya suatu hari nanti. Tambah lagi, bukankah Dinda sendiri bernasab daripada Puteri Gerberga von Henneberg, ratu wilayah Swabia di negeri Germania … yang bersusur galur daripada Puteri Izdundad dan Bustenai ben Haninai? Puteri Izdundad pula ialah puteri kepada Yazdegerd Shah III raja Parsi dan permaisuri baginda Puteri Mayanahan dari kerabat diraja Byzantium. Dengan itu juga bererti bahawa Dinda … seperti juga Kanda … melalui Yazdegerd Shah III … membawa darah Khouroush Agung serta Panglima Kambujiya … di dalam tubuh Dinda. Manakala Bustenai ben Haninai itu pula adalah bersusur galur daripada Raja Daud. Maka tiada sebarang permaisuri di mana-mana negeri di Rantau Tenggara ini yang dapat menandingi kehebatan zuriat yang Dinda miliki.”

“Kanda seperti sudah menghafal susur galur Dinda,” Isabelle mencelah sambil tersenyum bahagia.

“Kerana ia juga akan menjadi susur galur puteri kita, Chinta Kirana, serta cucu cicitnya di hari muka.

“Shakranta dan Isabelle … perintis kerajaan Chi Tu II. Sebuah kisah amat hebat.” Isabelle berceloteh, separuh bergurau.

“Kira-kiranya, begitulah,” balas Shakranta. “Dan mulai hari ini, demi kesejahteraan negeri Langkasuka Kelantan Amdan Negara … malah seluruh Pakatan Pantai Timur … Dinda diangkat menjadi Penasihat Khas kepada Raja Shakranta, Pemerintah negeri Langkasuka Kelantan Amdan Negara dan Panglima Agung Angkatan Pantai Timur.”

“Ha! Dah mula la tu … semakin melarat pula merepeknya,” Isabelle mengherdik pura-pura sambil bangun meninggalkan kerusi empuknya, melintasi di hadapan suaminya dalam perjalanan menuju ke dapur.

“Mengapa pula tidak? Dinda memang punya bakat yang hebat. Biar kita berdua bersama-sama membuat perancangan. Demi kesejahteraan negeri Langkasuka Kelantan Amdan Negara … dan seluruh Pakatan Pantai Timur,” balas Shakranta sambil merangkul pinggang Isabelle dan menarik isterinya itu supaya duduk bertenggek di atas ribanya.

“Eh eh, Kanda ni. Nak bergurau pulak dia.” Isabelle cuba menepis tangan Shakranta dan meronta-ronta untuk melepaskan dirinya tetapi tidak berjaya. “Malu nanti kalau ditengok oleh Chinta Kirana.”

“Apa pulak yang nak dimalukan? Dia kan puteri kita. Biarlah dia tengok. Biar dia nampak betapa damainya hubungan di antara kedua orang tuanya.”

Kedua-duanya mengilai riang tanda bahagia dengan gurau senda di antara mereka. Shakranta lalu memeluk rapat permaisurinya itu dan menguncup-nguncup dahi, hidung, pipi dan bibirnya dengan penuh kemesraan. Demikianlah suasana kasih sayang pasangan diraja yang sentiasa hadir dalam hidup mereka berdua.

§        §        §
Lima tahun berlalu. Kelantan Amdan Negara kini maju sejahtera, makmur semakmur-makmurnya. Pelbagai jenis perahu dan kapal di bina oleh para pandai perahu serta pandai kapalnya. Perahu gubang bertiang satu yang boleh dibawa belayar merentas laut. Kapal pedewakan dan kapal pencalang reka cipta Bugis untuk golongan saudagar. Kapal payang Kelantan yang sesuai untuk nelayan mahupun saudagar. Perahu payar untuk kegunaan mengawal pantai, menentang lanun atau mengutip cukai di pelabuhan. Kapal penjajap yang kukuh teguh buatannya dicipta khusus untuk berperang.

No comments:

Post a Comment