Friday, March 4, 2011

Bab 7: Gegaran di Bumi Kemboja

Sujitaraja Kambhoja Raja Mauli Mala Raja berlegar-legar di pekarangan istananya. Meninjau-ninjau pokok-pokok bunga-bungaan dan buah-buahan serta pelbagai haiwan kesayangan yang ada di situ. Raja berdarah dua wangsa gemilang itu berusaha mencari ilham untuk melakukan sesuatu yang luar biasa. Apa yang sering bermain-main di kepalanya akhir-akhir ini, jika betul-betul terlaksana, pasti membuat kejutan besar di seluruh Rantau Tenggara. Ia seperti suatu khayalan yang terlalu hebat.

Namun darah yang mengalir di tubuhnya adalah darah Kambhoja. Darah perwira kaum kesatria terhebat dari pergunungan Hindu Kush di lereng barat banjaran Himalaya. Diwarisi melalui yangda lelakinya, seorang putera perantau daripada negeri Magadha. Maka seperti yang ramai sedia maklum, pahlawan berdarah Kambhoja bukanlah pahlawan sembarangan. Sukar ditentang, apatah lagi ditewaskan.

Manakala daripada ibunya Vira Lakshmi, seorang puteri Angkor dan adinda kepada Maharaja Jaya Varman VII, dia mewarisi zuriat Sri Kambu Svayambuva, pendiri negeri Chenla, melalui Raja Yaso Varman. Lalu kerana itulah baginda memakai gelaran Kambuja Raja, bererti ‘raja berketurunan Kambu’.  Baginda juga telah dilantik oleh maharaja Angkor Kemboja menjadi Nara Pati, iaitu Pembesar Wilayah, bagi kota Lavo, sekaligus Sena Pati, iaitu Panglima Agung, bagi seluruh bala tentera Angkor Kemboja. Kebetulan pula Lavo kini menjadi markas keseluruhan bagi bala tentera Angkor Kemboja. Bukankah itu sesuatu yang akan memudahkan perancangannya?

Sudah lama dia terfikirkannya. Dia berada dalam kedudukan yang lain daripada yang lain. Ayahanda saudaranya di sebelah bondanya kini bersemayam di takhta Angkor Kemboja sebagai maharaja. Namun baginda kini telah agak lanjut usianya. Semakin hari baginda semakin gering. Para putera daripada kalangan seluruh kerabat di raja Angkor Kemboja saling memerhati dari jauh akan segala perkembangan semasa yang sedang merungkai. Pelbagai rencana dan muslihat kini dalam perancangan mereka. Gelagat mereka seakan sekawan burung nasar yang meninjau-ninjau tanpa jemu, menanti seekor haiwan uzur rebah tersungkur, untuk menjadi santapan mereka.

Namun santapan itu tidak mungkin akan diperolehi dengan begitu mudah. Kerana perebutan sengit sudah pasti menanti barang siapapun yang mengidamkannya. Begitulah lumrahnya setiap kali berlaku kemangkatan seorang maharaja Angkor Kemboja.

Manakala nenda perempuannya di sebelah ayahandanya adalah seorang puteri daripada kerabat Palembang Srivijaya. Hatta, Sujita memiliki gabungan zuriat daripada dua istana terulung di Rantau Tenggara. Istana Angkor Kemboja dan istana Palembang Srivijaya.

§        §        §
Selama lapan tahun Sujita memegang tampuk pemerintahan Negara Seri Dharmaraja sebagai rajanya, bersemayam di Kota Cahaya, sekaligus juga menerajui Mandala Agung Srivijaya sebagai maharaja seluruh mandala. Menggantikan kekandanya Udaya Aditya yang dilantik menjadi Narapati kerajaan Lavo merangkap Senapati bala tentera seluruh Kemboja Negara. Kini giliran saudara sepupunya pula, Chulamani Warma Dewa, raja negeri Palembang untuk menerajui seluruh Mandala Agung Srivijaya. Manakala Sujita masih kekal sebagai raja Negara Seri Dharmaraja.

Di antara raja kedua negeri, Negara Seri Dharmaraja dan Palembang Wijaya Negara, bergilir-gilir menerajui Mandala Agung Srivijaya. Sujita dulunya bersemayam di Kota Cahaya, kini telah berpindah ke istana baru di Tambara Lingga.

§        §        §
“Ampun Patik, Tuanku,” Ketua Pengawal istana Raja Sujita di kota Tambra Lingga, sekaligus Panglima Agung bala tentera Negara Seri Dharmaraja, merafak sembah. “Patik diberithahu bahawa Tuanku ingin bertemu dengan patik, Tuanku.”

“Benar, Panglima Changhiza,” balas Raja Sujita. “Beta ingin berbicara sesuatu yang penting dengan kamu.”

“Ampun Patik, Tuanku. Apakah gerangan perkaranya, Tuanku?”

“Ummm … begini … ke mari lebih dekat denganku,” Raja Sujita berbisik sesuatu kepada Panglima Changhiza. Panglima itu mendengar dengan teliti segala yang disampaikan kepadanya.

“Maka, apakah tugas patik seterusnya, Tuanku?”

“Ini adalah peluang keemasan untuk Beta dan seluruh kerajaan Negara Seri Dharmaraja. Secara tidak langsung pula, juga kesempatan terbaik untuk kamu sebagai Panglima Agung. Beta mahu kamu rangka rancang cara terbaik untuk Negara Seri Dharmaraja, kemudian berbincang lebih dengan Beta. Dan ingat, di peringkat terawal ini, perkara ini haruslah menjadi rahsia hanya di antara kita berdua. Jikalau ia bocor kepada umum, bererti kamulah pembelotnya, dan kamu tentu tahu apa hukumannya bagi seorang pembelot. Kamu faham segala-galanya sekarang?”

“Ampun Patik, Tuanku. Patik faham. Akan patik usahakan dengan sebaik-baiknya.”

“Bagus! Itulah kesetiaan yang harus ada pada seorang Panglima Agung. Kalau menghadapi sebarang halangan, segeralah berhubung dengan Beta. Kita selesaikan berdua.”

“Baik, Tuanku.”

§        §        §
“Ampun Tuanku,” Panglima Changhiza bersuara, sejurus selepas merafak sembah.

“Ya, Panglima Changhiza,” Raja Sujita beralih kedudukan di kerusi empuk di balai tetamu.

“Patik ingin menyampaikan beberapa perkembangan terbaru berhubung perkara yang kita bicarakan tempoh hari.”

“Baiklah. Apa perkembangannya?”

“Ummm … begini, Tuanku. Daripada hasil usaha para perisik kita, kemungkinan besar akan berlaku sesuatu yang boleh membuka ruang untuk kita bertindak kemas.”

“Apakah gerangan perkaranya, Panglima?”

“Baginda Atra Shataka, raja negeri orang-orang Mon di Haripunjaya, sedang membuat persediaan untuk menyerang kota Lavo dan menaklukinya.”

“Ummm … itu sesuatu yang agak menarik … namun tidaklah begitu luar biasa. Kalau Beta berada dalam keadaan Baginda pun, Beta juga akan menyimpan hasrat sepertinya. Kerana kota Lavo itu dulu asalnya berada di dalam wilayah negeri Dvaravati. Maka bererti kota itu asalnya milik orang-orang Mon, iaitu saudara sebangsa orang negeri Haripunjaya. Hanya baru dua tahun yang lalu kekandaku, Narapati Urchitra, dan seangkatan bala tentera Khmer pimpinannya menumbangkan kerajaan Mon di Lavo dan menakluki kota itu. Habis, apa lagi hasil perisikan yang kamu peroleh?”

“Narapati Urchitra Chakra Varti tahu tentang rancangan Atra Shataka … maka Baginda juga sedang membuat persediaannya sendiri di Lavo untuk menghadapi serangan bala tentera Haripunjaya. Rancangan Baginda adalah … menghancurkan bala tentera Atra Shataka di Lavo … kemudian membuat serangan balas terhadap Haripunjaya … lalu menaklukinya.”

“Lalu dengan itu semakin memperluas dan memperkukuh lagi penaklukan Khmer ke atas bumi kediaman orang Mon. Suatu rancang cara yang boleh tahan bijaksananya oleh Raja Urchitra. Kamu fikir … siapakah di antara mereka berdua yang akan berjaya?”

“Pada hemat patik … daripada segi kekuatan semasa … di antara Lavo dan Haripunjaya kini hampir sepadan. Sukar hendak diramal siapakah yang akan menang … dan siapakah yang akan kalah. Kesudahannya … jangka patik … akan bergantung pada pihak mana yang lebih kental semangatnya … dan lebih handal permainannya … pada hari peperangan.”

“Akan tetapi … kiranya Urchitra yang beroleh kemenangan … apakah kesannya daripada segi imbangan kuasa di Angkor Kemboja?”

“Firasat patik … ia bererti … kedudukan Baginda di kalangan putera-putera Angkor Kemboja akan bertambah kukuh, Maksud patik … sebagai bakal pengganti Maharaja Jayavarman VII.”

“Jawapan yang tepat. Kamu melihatnya sebagaimana Beta juga melihatnya. Maka apakah tindakan sebaiknya yang harus diambil oleh pihak negeri kita, Negara Seri Dharmaraja?”

“Ampun patik, Tuanku,” Panglima Changhiza bergerak menghampiri Raja Sujita, lalu berbisik sesuatu kepada Baginda. “Begini, Tuanku …”

“Bagus! Bagus! Otak kamu memang geliga. Tidak sia-sia Beta mengekalkan khidmat kamu sebagai Panglima Agung selama ini.”

“Seperkara lagi, Tuanku.”

“Apa itu, Panglima?”

“Semasa kunjungan hamba ke Patani Seri Negara, seperti titah Tuanku, hamba berjaya mendapatkan sekumpulan anak muda berbakat yang berminat untuk berkhidmat dengan bala tentera kita.”

“Bagus itu. Adakah di antara mereka yang punya bakat luar biasa?”

“Memang ada, Tuanku. Patik menemui dua orang seperti itu. Kebetulan pula, mereka berdua bersahabat akrab. Shakranta dan Shankara nama mereka.”

“Oh! Itu bagus sekali. Dari manakah asalnya mereka?”

“Shakranta itu dari Amdan Negara. Shankara pula dari Wura Wari, sebuah wilayah dalam negeri Lwaram, negeri anggota kerajaan bersekutu Sunda-Galuh, di sebelah barat Pulau Jawa.”

“Oh. Kedua tempat itu memang sering melahirkan pahlawan gemilang di masa lalu. Lalu bagaimana pula kamu dapat mengetahui tentang kehandalan mereka?””

“Orang-orang hamba sendiri yang menyaksikan mereka berdua mempamerkan permainan hebat. Ketika mereka menewaskan segerombolan penyamun tegar dan ganas yang cuba menculik Sashmina dan Sashmita, dua puteri kembar Pembesar Wira Sakti.”

“Kalau begitu, serap mereka berdua segera ke dalam gerombolan pimpinan kamu sendiri. Mereka ada tokoh untuk menjadi panglima di hari muka. Asuh dan didik mereka dengan sebaiknya dengan selok belok ilmu panglima.”

“Baik, Tuanku. Akan patik lakukan seperti titah Tuanku.”

§        §        §
Kira-kira setengah purnama sebelum hari yang dijangka peperangan akan bermula di antara bala tentera dua pihak, iaitu Haripunjaya dan Lavo, bala tentera persekutuan seluruh Angkor Kemboja, yang bermarkas di Lavo dan terletak di bawah pimpinan Narapati Urchitra berpecah dua. Pernyataan rasmi yang dibuat oleh Narapati Urchitra, selaku pemerintah negeri Lavo merangkap senapati bala tentera seluruh Angkor Kemboja, mengisytiharkan bahawa berlaku dua pemberontakan serentak di wilayah barat serta wilayah selatan kerajaan Angkor Kemboja.

Maka seluruh bala tentera diperlukan untuk menundukkan kedua pemberontakan. Gerombolan yang bergerak ke timur dipimpin oleh Narapati Urchitra sendiri. Manakala gerombolan ke selatan diketuai oleh Panglima Changhiza, iaitu Panglima Agung negeri Negara Seri Dharmaraja, yang lebih faham serba perkara berhubung wilayah itu.

Lalu membuat Raja Atra Shataka terasa begitu lega hati bila mendengar perkhabaran tentangnya. Kerana ketiadaan bala tentera Angkor Kemboja di kota Lavo dipercayai akan memberi kelebihan kepadanya membuat dan melaksana rancang cara perang mengikut cita rasa sendiri.

Namun diwaktu malamnya, gerombolan pimpinan Narapati Urchitra melencong ke utara sejauh kira-kira dua persangga, kemudian berpatah balik ke barat kira-kira sepersangga, seterusnya melencong semula ke barat daya, membuat gerakan terakhir untuk menyerang bala tentera yang telah terpedaya secara mengejut dari hala timur laut di waktu dinihari.

§        §        §
Ketika bala tentera Haripunjaya pimpinan Raja Atra Shataka sedang sengit bertempur dengan ketumbukan bala tentera Angkor Kemboja pimpinan Narapati Urchitra, ketumbukan kedua bala tentera Angkor Kemboja pimpinan Panglima Changhiza bergabung dengan bala tentera Negara Seri Dharmaraja pimpinan rajanya sendiri, iaitu Raja Sujita. Bala tentera gabungan itu berpatah balik ke hala utara, lantas menghimpit dan menyerang bala tentera Haripunjaya tanpa diduga dari arah belakang.

Raja Atra Shataka terperanjat besar. Bala tentera Haripunjaya pimpinannya tiba-tiba bercelaru dan berterabur pergerakannya. Asakan bala tentera gabungan dari arah selatan begitu teratur dan padu, seperti mustahil hendak ditentang. Gajah-gajah perang baginda sendiri semakin lama seperti semakin resah, melihat gajah-gajah pihak musuh yang jauh lebih bengis serta jauh lebih banyak bilangannya.

Bala tentera gabungan yang begitu ramai jumlahnya mengepung bala tentera Haripunjaya, menggempur, melanyak dan menggodam mereka. Manakala Narapati Urchitra pula mengundurkan bala tentera pimpinannya dari medan tempur, lalu mula bergerak ke hala utara. Menuju kota Haripunjaya yang kini tiada sesiapa lagi mampu mempertahankannya.

§        §        §
“Putera Shakranta,” Raja Sujita bersuara.

“Ya, Tuanku,” Shakranta menjawab.

“Beta ingin berbicara sesuatu denganmu.”

“Tentang apa gerangannya, Tuanku?”

“Tentang Negara Sri Dharmaraja, Langkasuka, Angkor Kemboja dan Palembang Srivijaya.”

“Itu perkara peringkat terlalu tinggi bagi Kita, Tuanku. Kita khuatir … bahawa Kita tidak cukup layak untuk berbicara perkara setinggi itu dengan Tuanku.”

“Mengapa pula tidak? Dema bukankah seorang putera? Lebih daripada itu … bukan sekadar seorang putera sembarangan … tetapi seorang putera daripada zuriat Wangsa Dharmakusuma … di antara wangsa adhiraja yang terhebat di Rantau Tenggara ini.”

“Tetapi Tuanku … keluarga Kita sudah begitu lama tidak menduduki takhta negeri … sudah lebih dua abad.”

“Aaahhh … itu perkara kecil. Beta percaya … tidak terlalu lama lagi … Wangsa Dharmakusuma akan beroleh kesempatan … untuk merebut dan memenangi kembali takhta yang kehilangan. Kerana … zaman ini zaman bergelora di Rantau Tenggara ini.”

“Maksud Tuanku?”

“Dalam setiap suasana yang bergelora itu … pasti akan muncul sedikit sebanyak peluang keemasan. Namun … ia akan hanya punya makna … kepada mereka yang tahu dan mampu memanfaatkan peluang sedemikian … serta punya kemahuan untuk berjuang ke arahnya … sebelum berjaya menikmati faedahnya.”

§        §        §
Angkor 1006 Masihi
Perang berlanjutan di antara dua saudara bau-bau bacang, Jaya Vira Varman raja Negara Seri Dharmaraja dan Surya Varman I raja Sambhu Pura, kerana berebut takhta Angkor peninggalan Maharaja Jaya Varman V, kini menghampiri peringkat penghujungnya. Kedua pihak mula merangka cadangan perjanjian damai. Bala tentera mereka masing-masing sudah mula bosan dengan perang berlarutan yang tiada hentinya.

Surya Varman itu kubu kekuatannya di timur, timur laut dan barat laut. Dia memiliki kelebihan jumlah bala tentera yang jauh mengatasi pihak Jaya Vira Varman. Namun Jaya Vira Varman mempunyai keistimewaan sendiri. Salah satu daripadanya gerombolan pahlawan perantau yang bengis dan hebat dari bumi Langkasuka, pimpinan Panglima Changhiza, bergelar Pasukan Harimau Semenanjung.

Surya Varman bimbang jika Jaya Vira Varman memerintah terlalu lama, dia akan membawa semakin ramai lagi orang Langkasuka dan Sumatra ke Kemboja Negara. Malah tidak mustahil dia menghidupkan semula usaha menggabungkan seluruh wilayah yang dikuasainya di Kemboja Negara dengan Palembang Sri Vijaya. Kerana dirinya sendiri punya darah kerabat Palembang yang pernah bersepakat dengan sekutu mereka kerajaan Jawa Sailendra untuk menakluki negeri Chenla Laut dua abad yang lalu.

Di satu ketika bala tentera Jaya Vira Varman berada di ambang kekalahan teruk setelah sebahagian anggotanya terkepung oleh pihak Suryavarman. Namun Pasukan Harimau Semenanjung membuat pertukaran rancang cara yang mendadak dan luar jangka bagi pihak musuh. Mereka membuat serang balas mengejut menggunakan pasukan pemanah berkuda dan pasukan perempuh berkuda, lalu berjaya mengepung balas sebahagian bala tentera Sambhu Pura.

Di kalangan mereka termasuk sebilangan panglima utama serta beberapa orang panglima muda. Golongan panglima utama adalah ayam tambatan Raja Surya Varman, manakala kumpulan panglima muda merupakan anak didik baginda sebagai barisan pelapis. Maka mereka yang terkepung termasuk Parakrama Vira Varman, Nrpa Simha Varman dan iparnya Virendra Adhipati Varman, serta Vira Vardhana, seorang anak saudara Ratu Nrpati Indra Lakshmi, iaitu permaisuri utama Surya Varman.

Maka akhirnya kedua pihak membuat keputusan untuk bergencat senjata dan berhenti berperang seketika.

Setelah berbincang panjang dengan para panglima utama baginda termasuk Panglima Shakranta, Jaya Vira Varman raja Ligor bersetuju untuk mengosongkan takhta Angkor dan menyerahkannya kepada Suryavarman I, saudara bau-bau bacang yang jauh lebih muda dari negeri Sambhu Pura. Jelasnya, Surya Varman memiliki bala tentera termasuk pasukan gajah perang yang jauh lebih besar serta sokongan yang jauh lebih padu daripada rakyat ke hala utara, timur dan selatan kota Angkor. Maka amat sukar hendak ditentang oleh Jaya Vira Varman untuk tempoh yang berpanjangan.

Syarat-syarat janji damai menetapkan bahawa Jaya Vira Varman akan berundur kembali ke Tambra Lingga, pusat pemerintahan Negara Seri Dharmaraja, sambil kekal sebagai Narapati atau Pemerintah kota Lavo, di samping mengakui pertuanan Suryavarman I sebagai maharaja seluruh kerajaan Kemboja Negara yang berpusat di Angkor.

Surya Varman pula memberi sumpah janji tidak akan menyerang angkatan Jaya Vira Varman semasa mereka berundur. Sebagai jaminannya, Panglima Muda Vira Vardhana dijadikan tebusan oleh angkatan Jaya Vira Varman sehingga mereka tiba ke kota Tambra Lingga. Seterusnya, Surya Varman juga berjanji tidak akan menyerang wilayah Negara Seri Dharmaraja selama baginda menerajui kerajaan Kemboja Negara.

Selepas perbincangan panjang lebar di antara Raja Jaya Vira Varman dan Panglima Changhiza di sebelah pihak, dengan Raja Surya Varman dan Panglima Parakrama Vira Varman di pihak yang satu lagi, kata putus yang muktamad akhirnya diperoleh. Di antara Negara Seri Dharma Raja dan Kemboja Negara akan terus berdamai serta saling menghormati.

Janji damai ibarat ikatan yang perlu disimpul erat supaya kukuh dan teguh ikatannya, agar tidak begitu mudah ia terlerai. Jayaviravarman akhirnya mengutus Panglima Changhiza, diiringi Panglima Muda Shakranta dan Panglima Muda Shankara, ke Angkor untuk meminang seorang kakak Suryavarman yang telah lama menjanda selepas kematian suaminya.

Rombongan Changhiza disambut dan dilayani dengan baik oleh pihak kerabat istana Angkor, dan pinangan Jaya Vira Varman diterima dengan seikhlasnya. Tidak berapa lama kemudian, Suryavarman pula mengutus Parakrama Viravarman, panglima agung baginda, ke Tambra Lingga untuk menyunting Shanta Ratna, seorang puteri Jaya Vira Varman, untuk dikahwini Surya Varman. Demikian berakhirnya sengketa di antara dua orang raja besar yang berseteru sekian lama di Benua Emas.

Surya Varman yang berakal bijak sana itu seterusnya membina sebuah kereta kuda emas kenderaan Dewa Vishnu sebagai hadiah anugerah kepada Rajendra Chola, raja negeri Chola Mandalam. Sebagai salah satu usaha memupuk hubungan baik di antara Kemboja Negara dan Chola Mandalam. Buat mengimbangi kekuasaan Palembang Sri Vijaya, yang pernah menyerang dan menakluki separuh negeri nenek moyang Surya Varman dua abad di masa silam.

Namun pewaris Wangsa Dharmakusuma terus menaruh harapan bahawa suatu hari nanti mereka akan dapat membangunkan kembali kerajaan Amdan Negara yang telah tumbang sekian lama. Kini, bagaimanapun, dengan hanya Kembang Seri Wangi dan anaknya Shakranta yang masih tinggal sebagai zuriat Wangsa Dharmakusuma, terutama di zaman Rantau Negara diruntun gelora, masa hadapan Wangsa Dharmakusuma yang sudah berabad-abad usianya itu mula kelihatan semakin hari semakin suram.

No comments:

Post a Comment