§ § §
“Pengawal sekalian!” Shakranta berseru. “Malam ini Beta ada banyak barang dagangan yang baru sampai di pangkalan perahu di tepi sungai. Beta perlu memeriksanya secara rapi sebelum menerimanya. Beta dan Permaisuri Beta akan berada di sana beberapa lama. Pak Utih, Pak Busu, Mak Utih dan Mak Busu akan membantu Beta berdua.”
“Tuanku memerlukan kami untuk ikut sama menolong?” Samak bertanya.
“Jangkaan awalnya, tidak begitu perlu. Namun, kalau kerja-kerja mengangkut terlalu banyak ... dan tenaga dema diperlukan ... Beta akan mengutus sama ada Pak Busu atau Pak Utih untuk memaklumkan kepada Ketua Pengawal.”
Shakranta dan Isabelle dengan keempat pembantu mereka berada di pangkalan perahu agak lama. Hingga lewat malam mereka belum pulang.
Sedang Gadang duduk mengelamun di tangga ... kelihatan kelibat seorang lelaki menghampiri pintu gerbang. Pak Busu rupanya.
“Gadang,” Pak Busu bersuara.
“Ya, Pak Busu,” balas Gadang. Ketua Pengawal itu kelihatan agak ceria, fikir Pak Busu. “Bagaimana keadaan di pangkalan?”
“Barangan yang tiba jelas terlalu banyak. Sungguh di luar jangkaan. Kami berenam tidak mampu mengendalikan semuanya. Tuanku Shakranta memberi arahan supaya semua pengawal datang membantu. Termasuk Timbalan Ketua Pengawal sendiri.”
“Baiklah Pak Busu,” ujar Gadang. “Hamba kerah mereka sekarang juga.”
“Dalim!” Gadang bersuara nyaring memanggil timbalannya.
“Ya, Gadang,” kedengaran suara Dalim membalas dari luar rumah. “Hamba di sini.”
“Panggil semua pengawal. Ikut Pak Busu ke pangkalan perahu. Kaupun ikut sama. Ini arahan Tuanku Shakranta.”
“Pengawal semua!!!” Dalim berteriak lantang. “Mari ke sini”.
Enam orang pengawal itu segera berkumpul di kawasan tangga.
”Kita semua diperlukan oleh Tuanku Shakranta. Mari ikut aku. Kita pergi bersama Pak Busu.”
“Err ... Dalim ... Gadang,” seorang daripada enam pengawal itu tiba-tiba bersuara. “Hamba ... perut hamba ... tiba-tiba meragam. Hamba minta kebenaran dan sedikit masa untuk ... melegakan diri hamba ... barang seketika.”
“Heiii, kau ni Samak!” Gadang membentak. “Ada-ada aja. Cepatlah sikit! Atau biarku tumbuk aja perut kau tu ... supaya melancarkan lagi pergerakan sampah sarap yang kotor itu keluar daripadanya.”
Setelah beberapa lama, Samak masih belum lagi selesai urusannya. Gadangpun kelihatan seperti nak naik berang.
“Dalim ... Pak Busu,” Gadang bersuara. “Hamba rasa, Samak tu akan terlalu lama. Entah apa yang dah jadi dengan perut cabuknya itu. Kalau macam tu, dema semua aja yang pergi dulu. Biar si Samak tinggal menjaga rumah bersamaku.”
“Baiklah, Gadang,” balas Dalim. “Kami pergi dulu.”
“Errr ... tunggu,” ujar Gadang. “Si Ozalan ke mana pulak?”
“Oja ke kandang kuda,” jawab Dalim. “Baru sebentar tadi hamba melihatnya. Katanya kaki Srikandhi terseliuh sedikit petang tadi semasa berlatih. Ia perlu diberi rawatan rapi. Agar kecederaannya tidak melarat dan ... kakinya tidak terlalu membengkak. Hamba rasa ... Oja akan berada di sana agak lama.”
“Baiklah,” ujar Gadang dengan nada yang agak lega.“
Akhirnya Samak keluar daripada tandas di belakang rumah. Dia mengeluh lega. Kawan-kawan pengawal yang lain semuanya sudah pergi. Sebaik saja dia melangkah kaki untuk menaiki tangga rumah ...
“Bappp,” terdengar bunyi seperti sebatang kayu besar menghempap sesuatu.
Samak jatuh tersungkur tanpa sebarang suara. Terus kaku, tidak bergerak lagi.
§ § §
Malam itu Chinta Kirana tidak dapat tidur. Berkali-kali dia beralih kedudukan … berpusing badan ... ke kiri, ke kanan dan ke kiri semula ... namun tidur seperti berkeras mahu menyepi diri daripadanya. Demikianlah keadaannya hingga ke larut malam.
Akhirnya, kerana terlalu bosan dia bangun mencucuh pelita lalu duduk bersila seketika. Kepalanya kebingungan. Tidak tahu apa yang hendak dibuat. Dia membuka pintu kamarnya dan duduk bersandar pada dinding di luar bilik. Dalam termenung dia menoleh ke arah daun pintu besar Mahligai Dharmakusuma. Entah apakah yang ada di luar sana di malam buta begini, fikirnya. Namun hatinya seakan terpanggil untuk pergi keluar melihat-lihat. Seperti ada sesuatu yang menggamit jiwa mudanya.
§ § §
Ozalan berjalan menghampiri bahagian belakang Mahligai Dharmakusuma. Sambil itu dia meninjau-ninjau ke setiap arah di sekitar pekarangan.
Tiba-tiba … dia ternampak kelibat seseorang … seperti mengusung sesuatu. Ozalan menyelinap ke penjuru rumah … bersembunyi seketika …
“Gadang!!!” Ozalan bertempik lantang. “Berhenti! Lupakan niat jahatmu itu.”
“Bangsat!!!” balas Gadang. “Jangan kau ganggu urusanku. Budak ini tiada apa-apa ertinya bagimu. Lebih baik kau ke tepi saja dan selamatkan dirimu. Lalu tiada siapa yang rugi di antara kita berdua.”
“Tidak! Aku tidak akan hanya berdiam diri dan membiarkanmu mengkhianati keluarga Dharmakusuma. Terutamanya anak gadis sunti mereka yang masih tidak berdaya membela diri sendiri. Tidakku sangka. Rupanya selama ini kau pembelot dan petualang terbesar di wilayah ini. Entah sudah berapa lama kau menjadi tali barut Sang Rama Vijaya. Kau tidak layak berada di sini. Diberi bunga ... kau balas dengan tahi.”
“Kurang ajar!!! Dasar dagang merempat! Mengapakah kau begitu bodoh? Ini tawaran terakhir untukmu. Biarkan ku bawa dia ke sungai. Orang-orang Sang Rama Vijaya sedang menungguku di sana. Mereka akan menguruskan yang selebihnya. Ganjaran yang mereka berikan, nanti kita kongsi bersama.”
“Tidak semudah itu, Gadang. Ternyata kau masih tidak faham setelah sekian selama berada di istana ini. Wangsa Dharmakusuma adalah seperti keluargaku sendiri. Tiada bezanya dengan darah dagingku sendiri. Sungguhpun diriku sekadar seorang pekerja suruhan. Maka barang siapa yang ingin mengkhianati mereka, adalah seperti dia mahu mencederakan diriku sendiri.”
Chinta Kirana yang sedang diusung oleh Gadang tiba-tiba tersedar. Rupanya dia si Gadang telah memasukkan ubat pukau ke dalam air teh di dalam kendi tehnya yang terbiar di serambi rumah anjung. Yang menyebabkan dia tiba-tiba tertidur nyenyak sebentar tadi.
“Abang Oja!!!” Chinta Kirana terus menjerit lantang. “Toloonnggg! Tolong Chinta!”
“Gadang!!! Bebaskan dia segera. Atau ku hambur kau detik ini juga.”
“Lepaskan aku, jahat!!! Kalau Ayahku pulang ... baru kau tahu padahnya!”
Gadang menurunkan Chinta Kirana yang meronta-ronta lantas menghunus kerambit yang tersisip dipinggangnya.
“Ini! Lihat ini, Oja. Jangan kau bergerak walau setapak lagi. Atau akan terburai tali perut budak ini oleh kerambitku ini. Atau ku pulas saja tengkuknya ini.”
Chinta Kirana yang kini dalam kedudukan berdiri terasa tengkuknya terkunci erat dari arah belakangnya oleh tangan sasa Gadang. Namun dia terus meronta.
“Memang wajar sekali rupanya kesangsian Puanku Isabelle terhadapmu. Sudah lama dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan kau. Tapi ... kalaulah Chinta Kirana tercedera ... tidakkah Sang Rama Vijaya sendiri akan memurkaimu? Dan ... tidakkah itu bererti bahawa ... habis melayang segala ganjaran lumayan yang kau impikan itu?” Ozalan sengaja meleretkan pertengkarannya dengan Gadang supaya melalaikannya. Sambil berfikir mencari jalan bagaimana hendak menyerangnya tanpa mencederakan Chinta Kirana.
“Sungguh tidak ku sangka,” Ozalan meneruskan kecamannya. “Kau tidak ubah seperti kacang lupakan kulit. Ibarat mayang menolak seludang. Diberi susu kau balas tuba. Diberi bunga kau balas tahi. Sekarang … siapa yang menggali lubang … dialah juga yang akan terperosok ke dalamnya!”
Gadang tiba-tiba kelihatan keliru bercampur serba salah. Kini dia pula yang kebingungan. Keraguan mengelamkan perhitungannya ... terkial-kial memikirkan apa tindakan yang paling tepat …
“Bedebap! Prrpaap! Bedebap!” tiga tendangan kilat Ozalan menyambar muka Gadang berturut-turut tanpa kakinya jatuh mencecah lantai. Tendangan libas terus dari kanan mengenai sisi kiri kepala Gadang. Disusuli dengan tendangan cangkuk dengan tumit pada mukanya yang terpusing ke kanan akibat tendangan pertama. Tendangan ketiga ... membawa segala kekuatan yang masih ada di kaki kanan Ozalan ... kena tepat pada pangkal rahang Gadang. Ketua Pengawal bertubuh sasa itu mengerang kesakitan seketika.
Terpacu oleh geram kerana sakit bercampur kekecewaan akibat hasratnya yang terbantut, Gadang menggenggam rambut Chinta Kirana, lantas disugun kepala gadis itu ke tiang seri, membuatnya huyung dan hampir tersungkur ke lantai. Ozalan menerpa ke arah Chinta Kirana dan sempat memaut bahunya untuk menghalangnya daripada jatuh terus dan terhempap kepalanya di lantai.
“Chinta!,” Ozalan bersuara lantang.
“Abang Oja!” balas Chinta Kirana dalam keadaan termengah-mengah kerana penat meronta.
“Pergi ke serambi dan tunggu di situ. Minta bantuan jika terlihat sesiapa yang lalu berhampiran.”
Ozalan segera berpaling semula ke arah Gadang untuk menghadapinya. Sambil meletakkan dirinya di antara Isabelle dan Gadang sebagai penghadang untuk melindungi Isabelle. Gadang meluru ke arahnya sambil menusuk kerisnya ke dada Ozalan. Ozalan melantun ke sisi untuk mengelak, sambil merembat lengan Gadang dengan kaki kirinya, membuat keris Gadang terlucut dari tangannya. Lantas Ozalan menerpa semula ke depan melontar tumbukan padu dengan tangan kanannya ke rahang kiri Gadang. Di susuli pantas dengan rembatan siku kiri ke kanan muka lawannya ... seterusnya tumbukan cangkuk ke atas yang teramat padu dengan tangan kanan tepat mengenai dagu pengawal itu.
Dalam Gadang masih terpinga-pinga, hantukan kepala Ozalan tepat mengenai batang hidungnya, membuatnya patah remuk. Sungguhpun rahangnya terasa sakit, serta batang hidungnya pula patah dan berdarah meleleh-leleh lalu kini dia hanya dapat bernafas melalui mulutnya, Gadang ternyata bukan calang-calang lawan.
Dia menerkam balas ke depan ... melibas ke rusuk kanan Ozalan beberapa kali berturut-turut dengan kaki kirinya ... kemudian secepat kilat bertukar kaki dan membuat tendangan libas terus yang padu ke dada Ozalan dengan kaki kanannya. Sakit Ozalan bukan kepalang ... dadanya terasa seperti hendak pecah ... namun dia terpaksa menahannya.
Secepat kilat Ozalan berputar badan untuk meyerang balas dengan tendangan terjah kuda tepat ke ulu hati Gadang. Orang itu beradui kesakitan. Dalam dia menghadapi sesak nafas akibat hentakan itu, Ozalan menyusuli dengan tendangan libas terus dengan kaki kanan ke sisi kiri muka lawannya. Akhirnya ... sekali lagi Ozalan berputar badan untuk menyampaikan pukulan penyudah ... tendangan libas terbalik dengan kaki kanannya ... seperti libasan ekor buaya ... kali ini tumitnya hinggap tepat pada pangkal rahang kanan Gadang.
Kini permainan sudah berakhir. Ketua Pengawal itu huyung-hayang seketika ... pengsan dalam berdiri seterusnya tumbang ke lantai tanpa sebarang suara ... tubuhnya menghempap papan lantai seperti sebatang kayu buruk. Kerisnya kelihatan terbaring di lantai kira-kira tiga depa dari tubuhnya.
§ § §
“Abang Oja!!!” kedengaran suara Chinta Kirana menjerit nyaring sambil meluru masuk kembali ke ruang utama. “Ayahanda ada di pekarangan rupanya! Bundapun sama!”
Sejurus kemudian ... terdengar seperti bunyi berbaur suara berbisik-bisik dari arah tangga utama. Kelihatan Shakranta, diikuti Isabelle, seterusnya Mak Utih, Mak Busu, Pak Utih dan Pak Busu melangkah naik masuh ke rumah. Tujuh orang pengawal, didahului oleh Dalim selaku Timbalan Pengawal, menyusuli mereka. Shakranta dan Isabelle bertepuk tangan serentak, diikuti oleh yang lainnya.
“Chinta puteriku,” terdengar Isabelle bersuara. “Kami memang sentiasa ada di sekitar kawasan ini, Sayang. Kami tidak mungkin meninggalkanmu.”
“Syabas, Oja!!!” ujar Shakranta lantang. “Syabas! Permainanmu sungguh menakjubkan.”
“Dalim!” Shakranta bersuara sambil menoleh kepada Timbalan Ketua Pengawal. “Belenggu si bangsat itu dengan rantai besi sebelum dia sedar . Bawa dia ke bilik pasung. Kurung dia di sana dengan di kawal ketat oleh tiga orang pengawal siang dan malam.”
“Tuanku! Puanku!,” ujar Ozalan terperanjat. “Tuanku dan Puanku ada rupanya.”
“Bunda!!!,” Chinta Kirana berteriak dengan nada teruja bercampur lega sambil meluru ke arah bundanya, lantas meragut baju dan tangannya. Mereka berdua beranak berpelukan mesra, dengan Isabelle mengucup-ngucup serta mengusap-usap muka dan rambut puterinya.
“Chinta Kirana, puteriku,” balas Isabelle. “Kau tidak apa-apa, Sayang?”
“Tidak, Bunda,” puterinya menjawab. “Mujur Abang Oja datang segera. Dia membelasah si Gadang. Dia memang hebat, Bunda.”
“Ozalan!” Shakranta bersuara. “Kau tidak apa-apa?”
“Tidak, Tuanku,” jawap Ozalan. “Rupa-rupanya ... Gadang tidak sehebat yang hamba sangka selama ini.”
“Tidak, Oja,” ujar Isabelle. “Gadang tetap hebat. Kita semua tahu itu. Tapi ternyata ... malam ini kau seorang wira. Kau lebih hebat daripadanya. Chinta Kirana yang menjadi saksinya.”
“Terima kasih, Oja,” ujar Shakranta. “Tindakanmu benar-benar menakjubkan. Kau menyabung nyawamu untuk menyelamatkan Chinta Kirana.”
“Hamba sekadar menunaikan kewajipan, Tuanku. Kemampuan hambapun ... semuanya adalah hasil daripada latihan dan tunjuk ajar yang Tuanku berikan selama ini.”
Chinta Kirana meluru ke arah Ozalan ... lantas memeluknya dengan penuh kemanjaan.
“Abang Oja! Terima kasih. Abang memang hebat.”
“Sama-sama, Chinta,” jawap Ozalan sambil mengusap rambut Chinta Kirana. “Chinta tidak apa-apa?”
“Tidak, Abang. Cuma tengkuk dengan tangan Chinta aja yang terasa sakit sedikit, kerana bergelut dengan si Gadang tadi.”
Isabelle dan Shakranta memerhatikan telatah anak gadis mereka berdua, masing-masing tersenyum lega serta bahagia.
”Bagus, Oja,” sambung Shakranta dengan nada lega sambil memerhatikan telatah puteri dan permaisurinya. “Sebenarnya kami bersembunyi di sebalik rumah anjung. Tepat ketika kami hendak menyerbu dan menggempur si Gadang, kau muncul dengan tak semena-mena untuk mengendalikannya. Segala tindakan dan pergerakanmu kelihatan agak meyakinkan. Maka kami terus bersembunyi sambil menyaksikan segala-galanya. Sambil Isabelle, Dalim dan diriku sendiri ... masing-masing sentiasa membidik panah kami ke arah si Gadang untuk terus membunuhnya kiranya keadaan menjadi terlalu berbahaya untuk Chinta Kirana. Ini ... Pak Utih dan Pak Busu kau ni ... mereka berdua sampai nyaris tergelincir jatuh dari dahan pokok manggis di luar sana kerana terlalu teruja melihat permainanmu melalui jendela rumah yang luas terbuka.”
“Kami bertuah dapat menyaksikan pameran seni tempur yang hebat dengan percuma,” ujar Pak Utih mencelah sambil tersengih lebar.
Mereka semua tertawa terbahak-bahak kerana geli hati mendengar cerita yang agak melucukan itu. Isabelle sekadar tersenyum selamba.
“Memang Kakak sudah lama mengesyaki bahawa si Gadang ada terlibat dengan sesuatu angkara. Cuma Kakak tidak menyangka yang ia sampai seburuk ini. Lalu kami terus mengawasi segala pergerakannya secara senyap-senyap ... dengan harapan akhirnya segala-galanya akan terbongkar dengan bukti yang sahih dan jelas. Maka malam ini seluruh persoalannya terjawab dan bukti itu terperoleh juga kesudahannya.”
“Dan Dalim juga begitu,” sambung Shakranta. “Lalu dia memaklumkan kebimbangannya kepadaku tidak berapa lama dulu. Cuma yang masih menjadi tanda-tanya adalah ... apakah punca sebenar di sebalik segala tindak-tanduk si Gadang ini. Dan ... hanya dia seorang sahaja yang boleh memberi jawapan terperinci tentang itu.”
“Hamba juga sengaja membuat helah kononnya berada di kandang kuda … untuk merawat kaki Srikandhi yang kononya tercedera.“ Ozalan memperjelas. “Sebenarnya, ia bertujuan supaya membolehkan hamba membuat rondaan di sekitar kawasan istana, kerana Puanku Isabelle yang mengarahkan hamba supaya secara senyap-senyap mengawasi pergerakan si Gadang sehari dua ini.”
§ § §
Gadang dikurung di bilik pasung dengan dibelenggu rantai kaki dan tangannya serta dikawal ketat. Sementara menunggu hukumannya, dia diseksa teruk hingga mendedahkan maklumat terperinci tentang punca kepetualangannya.
Rupanya dia sudah lama berkhidmat dengan pihak Sang Rama Vijaya. Sejak dari zaman remajanya, selepas kematian bapanya, seorang pahlawan Kota Gelanggi yang gugur semasa berjuang menentang serangan Chola Mandalam yang pertama lapan tahun yang lalu. Serangan itu salah satu daripada beberapa serangan yang dilancarkan oleh Rajendra Chola di Pulau Sumatra serta Semenanjung Melayu sebagai melepaskan geramnya terhadap serangan Palembang ke atas Medang Mataram, iaitu sekutu rapat Chola Mandalam, setahun sebelumnya. Di samping membolehkannya merompak dan menyangak sebanyak mungkin emas dan harta kekayaan di setiap negeri yang diserangnya. Untuk membantu membiayai bala tentera Chola Mandalam yang semakin hari semakin membesar.
Sang Rama Vijaya yang ketika itu masih Putera Mahkota Palembang, rupanya menyimpan cita-cita besar yang tidak pernah terimpikan oleh ayahandanya Mara Vijaya, mahupun nendanya Chulamani Varma Deva. Mahupun nendanya Chulamani Varma Deva. Baginda berhasrat untuk suatu hari nanti menyerang kota Angkor dan seterusnya menakluki seluruh wilayah Kemboja Negara. Dengan bantuan sahabatnya, raja negeri Negara Seri Dharmaraja, yang juga mempunyai darah Palembang Srivijaya, daripada jurai Balaputra Deva yang ada mengahwini seorang puteri kepada Pembesar negeri itu hampir dua abad yang lalu. Maka, andainya cita-citanya berjaya, hasrat agung Sang Rama Vijaya adalah menyerang dan menghancurkan Chola Mandalam sepenuhnya dengan bala tentera terbesar dalam sejarah Rantau Tenggara. Lalu dengan itu memungkinkan kerajaan Palembang Sri Vijaya berkembang kembali menjadi sebuah kuasa besar dan kebal yang terunggul di seluruh Rantau Tenggara, yang tiada saingannya lagi.
Negara Seri Dharmaraja juga kebetulan masih berseteru dengan Angkor Kemboja sejak zaman rajanya yang terdahulu, iaitu Raja Sujita, yang pernah menyerang dan menakluki Angkor lalu naik takhta dengan gelaran Maharaja Jaya Vira Varman. Baginda mendapat tentangan hebat oleh Surya Varman, seorang raja Khmer dari sebuah negeri kecil bernama Sambhu Pura di selatan Kemboja Negara. Selepas peperangan yang berlanjutan beberapa tahun, akhirnya Jaya Vira Varman ditewaskan oleh Surya Varman yang seterusnya menjadi Maharaja Kemboja Negara yang baru.
Lalu Sang Rama Vijaya mengambil dan mengasuh Gadang sebagai anak angkat sekaligus perisik rahsia, dan secara sulit menitahkannya supaya berikhtiar mendapatkan pekerjaan dengan Shakranta di Bukit Panau. Gadang dijanjikan jawatan Pembesar wilayah Bukit Panau, dengan itu menjadi tuan di Mahligai Dharmakusuma, serta mentadbir seluruh wilayah lain di bawah naungannya, kiranya rancangan itu berjaya. Gadang juga dijanjikan akan diberikan Chinta Kirana untuk dikahwininya, manakala Sang Rama Vijaya sendiri bercadang akan mengahwini Isabelle untuk dijadikan permaisuri kedua.
Kerana Sang Rama melihat Angkatan Pantai Timur sebagai sesuatu yang berkemungkinan serta berkemampuan menghalang cita-cita besarnya, Maka Shakranta, sebagai Panglima Agung Angkatan Pantai Timur, harus dihapuskannya terlebih dahulu. Sebagai langkah pertama dalam perancangannya yang lebih besar untuk menghancurkan kekuatan Angkatan Pantai Timur di Semenanjung Melayu.
Maka, usaha Sang Rama Vijaya untuk mendapatkan Chinta Kirana rupa-rupanya cuma suatu helah licik untuk menyembunyikan hasrat sebenarnya daripada Shakranta dan seisi rumah Mahligai Dharmakusuma. Sasaran utamanya yang sebenar adalah untuk menghapuskan Shakranta sendiri. Mengikut perancangan Sang Rama Vijaya, apabila Chinta Kirana diculik lalu dibawa lari ke Kedah Negara, Shakranta pasti segera menyusuli ke sana untuk menyelamatkan puterinya itu.
Apabila itu berlaku, dengan Shakranta dalam keadaan hilang pertimbangan, segerombolan panglima Palembang yang terhandal akan membuat serangan curi ke atasnya semasa dia berada di Kedah Negara lantas membunuhnya. Maka, kesudahannya, Gadang akan diberikan Chinta Kirana untuk dikahwininya, manakala Sang Rama Vijaya sendiri bercadang akan mengahwini Isabelle. Namun, mujurnya, tindakan pantas dan berani oleh Ozalan telah menggagalkan segala rancangan jahat itu.
§ § §
Peristiwa mengejut malam itu mendorong Shakranta menyusun semula sambil memperketat lagi rancang cara keselamatan di Mahligai Dharmakusuma dan seluruh persekitarannya. Dalim dinaikkan pangkat menjadi Ketua Pengawal sebagai pengganti Gadang. Manakala Ozalan dilantik menjadi Timbalan Ketua Pengawal yang baru.
Gerombolan pengawal mahligai juga mendokong peranan sebagai anggota teras bala tentera Amdan Negara kiranya diserang musuh. Maka, jika berlaku perang, Dalim menjadi Ketua Panglima, dengan Ozalan sebagai Timbalannya. Dengan Shakranta sebagai Panglima Agung dan Dalim bertanggungjawab penuh kepadanya. Lalu, dengan itu, gaji setiap anggota gerombolanpun masing-masing diberi kenaikan seperti sewajarnya oleh Shakranta.
Dali, adik Delima Wati sekaligus kawan Ozalan, Andak, anak Mak Utih dan Udin, anak Mak Busu diambil berkhidmat menjadi tiga orang penjaga kuda yang baru di bawah penyeliaan Ozalan. Mereka bakal mengambil alih tugas-tugas penjagaan kuda secara sepenuhnya. Kerana Ozalan kini sudah menyandang jawatan lain yang lebih penting untuk melindungi keselamatan keluarga Dharmakusuma. Lagipun, jumlah kuda yang memerlukan jagaan khas kini telah jauh bertambah banyak bilangannya.
Isabelle pula mula mengajar anak gadisnya, Chinta Kirana, pelbagai jenis seni tempur, bermain keris dan pedang, memanah, serta meniup sumpit, di samping menggunakan kuda sebagai penggempur musuh, sebagai langkah meningkatkan kemampuannya untuk melindungi diri bila terdesak.
No comments:
Post a Comment