§ § §
Ozalan mengamati dengan bersahaja wanita yang berjalan menyilang tidak begitu jauh di hadapannya. Wanita itu seperti pernah dilihatnya suatu masa dulu. Orangnya cantik dan anggun, fikir Ozalan, apabila wanita itu semakin hampir dengannya. Bertubuh tinggi besar bagi seorang wanita. Matanya berwarna perang madu. Bulu matanya panjang lentik. Bulu keningnya lebat. Berambut kundang kemerah-merahan yang kerinting berombak. Lebat dan panjang mengurai hingga ke pinggang. Kelibatnya agak hebat. Persis seorang serikandi, fikir Ozalan. Ohhh! Ibunya Kordelia rupanya.
“Ibuuu!!!” Ozalan berteriak memanggil ibunya sambil meluru ke arah wanita itu, lantas memeluknya erat-erat. Wanita itu tersentak sedikit.
“Ojaaa!!!” balas wanita itu, sejurus kemudian. Dia membelai-belai dan mengusap-ngusap muka serta rambut anak tunggal kesayangannya itu. “Kau ka? Kau dah besar rupanya, Sayang. Kacak dan tampan pula. Salin tak tumpah seperti arwah Ayahmu. Apa khabar kau, Oja? Sudah lama kita tidak bertemu.”
“Baik-baik aja, Bu. Ibu apa khabar?”
“Ibupun baik-baik aja.”
“Oja tinggal bersama Ziba Baji.”
“Isabelle? Ohhh. Di manakah itu?”
“Di rumah ... di mahligai … seorang pembesar dan saudagar … namanya ... Puteri Kembang Seri Wangi. Di sebuah negeri bernama … Amdan Negara. Puteranya … bernama Putera Shakranta. Dia juga ... seorang pahlawan hebat. Seperti Ayah. Mereka baik orangnya. Putera Shakranta telah ... berkahwin dengan Ziba Baji.”
“Ohhh. Baguslah kalau begitu, Oja. Jagailah dirimu baik-baik. Sampaikan salamku kepada Isabelle … Permaisuri Isabelle. Walau apa yang terjadi, jangan sekali-kali dibiarkan jatuh martabat keluarga kita. Kau seorang putera. Maka jiwailah kemuliaan hati dan kemurnian diri seorang putera sejati.”
“Apa??? Oja seorang putera???”
“Benar, Oja. Kerana Ayahmu, Panglima Uzulmez, dia adalah seorang Yabghu. Seorang putera Turkmen di kalangan beberapa gerombolan orang Turkmen puak Oghuz. Dia bersaudara rapat dengan Yabghu Arslan Israil, putera kepada Yabghu Sarjuq. Kalau kau berpeluang bertemu dengan kaum Turkmen kemudian hari ... kau carilah Arslan Israil serta kaum keluarganya. Dia kini seorang Kudarkin … iaitu Panglima Agung … sebagai pengganti ayahandanya … bagi gerombolan pahlawan perantau puak Turkmen Oghuz … dalam bala tentera kerajaan Khwarezm.”
“Tapi, Bu,” balas Ozalan dengan nada ragu. “Bagaimanakah Arslan akan mengenaliku? Dan mungkinkah dia akan menerimaku sebagai sanak saudara?”
“Ojaaa ... Arslan itu berkerabat rapat dengan Ayahmu. Dia pasti bahagia dapat bertemu denganmu. Tunjukkanlah pingat emas berantai berukirkan gambaran Helang Oghuz, iaitu cop mohor keluarga kita sekaligus juga puak Turkmen Oghuz, peninggalan Ayahmu itu kepadanya. Sebagai buktinya bahawa ... kau adalah putera kepada ... Yabghu Uzulmez. Selain itu ... bukti yang lebih kuat lagi adalah ... wajahmu sendiri. Kerana kau salin tak tumpah mirip Ayahmu. Hanya warna matamu ... dan kerinting rambutmu itu ... yang mirip Ibu.”
“Baiklah, Ibu. Oja akan mengusahakannya. Andainya Oja bertemu kesempatan itu. Oja pun ... pasti bahagia ... jika dapat bertemu sanak saudara.”
“Baiklah, Oja. Ibu harus pergi sekarang. Ingatlah pesanan Ibu. Pertahankanlah negerimu. Dan lindungilah sahabat-sahabatmu. Pupuklah sikap itu dalam dirimu, walau ke mana kau pergi, walau di mana kau berada. Berhubung maruah diri jangan sekali-kali bertolak ansur … kerana akhirnya itu akan merugikan diri sendiri. Banyakkan memberi daripada menerima … lebihkan menolong daripada ditolong. Nescaya hidupmu akan sentiasa sejahtera. Ibu pergi dulu, Sayang. Selamat tinggal, anakku.”
Wanita itu bergerak meninggalkannya … lalu beransur hilang daripada pandangan.
“Ibu!!! Jangan tinggalkan Oja! Tunggu! Ibuuuu!!!”
Ozalan bingkas bangun untuk mengejar wanita itu. Dia seterusnya tersedar daripada tidurnya. Dia menggosok-gosok matanya. Rupa-rupanya ... dia bermimpi.
Pingat emas berantai? Helang Oghuz? Peninggalan Ayahnya? Namun, seingat-ingatnya, dia tidak pernah melihat sebarang benda seperti itu sepanjang hayatnya. Mungkinkah Ziba Baji tahu menahu sesuatu tentangnya? Dalam mengelamun mengenang kembali kenangan zaman kecilnya di Balkan Bolgaria dan di Byzantium yang kini begitu samar ... dia beransur terlena kembali.
§ § §
Kepulangan Ozalan dari Byzantium disambut begitu gembira oleh keluarga Dharmakusuma. Chinta Kiranalah orang yang paling teruja setelah begitu lama merindui kehadiran Ozalan. Setelah empat tahun dalam penantian, berpisah dengan orang yang dikasihinya, membawanya ke usia tujuh belas tahun, dia kini semakin jauh menjangkau ke alam remaja.
Ozalan menghadiahkan Kembang Seri Wangi, Isabelle dan Chinta Kirana pelbagai jenis kain bafta Parsi dan Byzantium yang amat elok dan anggun mutunya serta penuh adiwarna. Membuat ketiga mereka begitu teruja. Tidak ketinggalan, Mak Utih, Mak Busu serta isteri Tuk Pinang dan isteri Tuk Nibung masing-masing juga menerima hadiah istimewa daripada Ozalan.
“Tuanku,” ujar Ozalan. “Hamba membawa dua berita dari Rantau Barat. Yang satu berita bahagia. Yang satu lagi berita pilu.”
“Berikan dulu berita yang buruk kepadaku.”
“Berita buruknya ... Maharaja Basileios II, Maharaja Byzantium, sahabat Tuanku ... Baginda jatuh gering. Namun baginda berkirim salam selamat sejahtera kepada Tuanku serta Puanku Isabelle.”
“Ohhh. Usianya pun sudah agak lanjut. Bersama-samalah kita doakan agar Baginda beransur baik semula. Dan berita baiknya?”
“Berita baiknya ... hamba bertemu Panglima Tegrud di Konya … dan juga Panglima Ashgar di Esfahan ... keduanya juga sahabat Tuanku. Panglima Tegrud kini berkhidmat sebagai pahlawan jurulatih dengan bala tentera Turkmen Oghuz. Manakala Panglima Ashgar kini seorang saudagar seperti Tuanku. Dia banyak membantu hamba.”
“Teruskan,” ujar Shakranta.
“Panglima Tegrud mengajak hamba berkhidmat sebagai pahlawan perantau dengan bala tentera puak Turkmen Oghuz. Mereka kini sedang berkembang pesat pengaruh dan kekuasaannya. Ramai orang percaya bahawa mereka bakal mencabar keunggulan kerajaan Parsi serta Byzantium di Rantau Barat suatu hari nanti. Namun, anak saudara Panglima Tegrud, Yilmaz, sahabat hamba ini, lebih terpesona dengan kisah-kisah tentang Suvarna Bhumi dan Suvarna Dvipa, maka dia teruja untuk ikut bersama hamba ke bumi Langkasuka, untuk melihat dengan mata kepalanya sendiri.”
“Selamat datang ke Kelantan Amdan Negara, Yilmaz. Kita harap kamu akan gembira tinggal di sini bersama kami.”
“Panglima Ashgar pula menjemput hamba menginap di sebuah rumah tetamu miliknya semasa di Esfahan. Dan dia memperkenalkan hamba kepada adik bongsunya ... Saudagar Mehrdad. Maka ... daripada tujuh ratus ekor kuda yang Tuanku suruh hamba beli ... empat ratus daripadanya ... kuda Thessalia, kuda Arab, kuda Kambhoja dan kuda Turkestan ... semuanya jenis kuda pelari … mereka berdualah yang berusaha mendapatkannya untuk hamba. Hanya kuda Norman ... iaitu kuda penggempur … yang tiga ratus ekor itu ... yang hamba sendiri mencarikannya di Byzantium.”
“Bagus! Bagus! Panglima Ashgar seorang pahlawan dan penonggang kuda yang hebat. Dia pasti tahu jenis kuda bagaimana yang paling sesuai untuk keperluan bala tentera sesebuah negeri. Kau tidak menjemput mereka berdua datang ke Amdan Negara?”
“Hamba memang menjemput mereka. Tapi ... Panglima Ashgar terlalu sibuk dengan urusan perdagangan. Dia berterima kasih dan meminta maaf kerana belum dapat datang buat masa ini. Dia juga berkirim salam sejahtera kepada Tuanku serta Puanku Isabelle. Hanya Mehrdad yang dapat datang. Kebetulan dia perlu menguruskan hal perniagaan keluarganya di Benua Hindi dan di Rantau Tenggara. Maka ... hamba menyewa tiga buah bahtera mereka untuk ... membawa balik kuda-kuda Tuanku terlebih dahulu.”
“Mehrdad tidak berkesempatan berkunjung ke rumahku?”
“Mehrdad masih berada di pelabuhan Ruhuna ... di Singhala Nagara. Belum selesai menguruskan hal perniagaannya Dia memang ingin benar untuk bertemu dengan Tuanku. Itu pesanan bapanya. Jangkanya ... dia akan tiba di Amdan Negara ... dalam sebulan dua. Dia juga meminta ... kalau-kalau Tuanku ada barangan dari rantau ini yang sesuai diperdagangkannya di Rantau Barat ... dia ingin melihatnya.”
“Baiklah, kalau begitu. Nanti kau bantu Beta dan Permaisuri Isabelle untuk mengenal pasti dan mencarikan barang-barang itu. Ini boleh membuka peluang perdagangan yang hebat untuk kedua-dua belah pihak.”
“Baik, Tuanku. Hamba mulakan sekarang.”
“Begitu banyak jenis barangan yang sesuai, Kanda,” Isabelle yang baru keluar dari kamar menyampuk. Rupanya dia terdengar perbualan Shakranta dengan Ozalan. “Damar. kayu gaharu, sumbu badak, gading gajah, lada hitam, rempah ratus ... semuanya boleh kita bawa ke pasaran di Parsi, Mesir, Baghdad dan Byzantium. Bunga cengkih, buah pala, kapur barus. Dinda dengar, akhir-akhir ini hanya orang-orang Tamil Chola Mandalam yang melakukan itu. Mereka yang membolot perdagangannya kini di Rantau Barat. Namun itu semua pernah dibuat oleh para saudagar dari Langkasuka dan seluruh kepulauan Suvarna Dvipa dua abad yang lalu.”
Akal Shakranta segera berputar ligat. Rangkai hubung perdagangan sahabatnya Panglima Ashgar di Parsi dan kawasan sekitarnya berkemungkinan baik untuk membantu menjulang jumlah barangan yang boleh diperdagangkan olehnya di pasaran Rantau Barat.
“Oh! Dan jangan lupa, Oja. Hubungi dengan kadar segera sahabatku di Jambi ... Panglima Shankara ... dan dapatkan senarai barangan sesuai dari Pulau Sumatra dan Pulau Jawa yang boleh dia bekalkan kepada kita. Dapatkan jawapan daripadanya sebelum Saudagar Mehrdad tiba di sini. Sampaikan juga jemputan Beta kepada dia dan seisi keluarganya untuk datang berkunjung ke Amdan Negara.”
“Baik, Tuanku. Hamba usahakan semua itu dengan sebaiknya.”
“Ada barangan barangan baru yang lain yang menarik untuk kegunaan bala tentera kita?” Tanya Shakranta.
“Ada, Tuanku,” jawab Ozalan. “Ini … baju rantai … untuk melindungi daripada tusukan senjata … ia tidak lut oleh senjata … kecuali jika dihunjam atau dilibas dengan kekuatan luar biasa.”
“Ohhh … Beta pernah melihat baju perisai seperti itu di Byzantium dulu … tapi Beta tidak begitu berminat dengannya … ia terlalu berat dan panas untuk dipakai dengan selesa oleh pahlawan kita … maka akan mengurangkan kesesuaiannya sebagai pakaian pelindung.”
“Tapi yang hamba bawa balik ini reka cipta terbaru. Reka cipta Parsi, Tuanku. Ia jauh lebih ringan daripada reka cipta Byzantium yang lama … dan jauh lebih telus udara … maka jauh lebih selesa.”
“Wei lah!” Shakranta membelek-belek beberapa contoh baju rantai yang diunjukkan kepadanya oleh Ozalan, mengenakan satu daripadanya pada tubuhnya. “Benar seperti katamu. Dan lebih elok pula rupanya. Lalu berapa banyak yang kau bawa pulang?”
“Hamba beli sebanyak seribu pasang dulu untuk dicuba oleh bala tentera kita, Tuanku. Jika didapati sesuai dan berkesan … kita boleh buat pesanan untuk membeli tambah sebanyak mana lagi yang kita perlukan … melalui Mehrdad.”
“Bagus! Bagus!” Shakranta menepuk bahu Ozalan, tanda menghargai segala hasil usahanya. “Berikan beberapa pasang kepada Ketua Pengawal dan beberapa rakan pengawalmu yang lain yang terkanan untuk mencubanya di tubuh mereka terlebih dahulu. Biar mereka nilai kesesuaiannya sebelum Mehrdad tiba di sini.”
“Satu lagi cara, Tuanku. Kita di Amdan Negara ini juga boleh cuba menghasilkannya sendiri di sini … para pandai besi dan pandai senjata kitapun kini bukan calang-calang kemampuan mereka.” Ozalan mengajukan cadangannya.
“Kalau begitu, panggil beberapa orang yang termahir daripada kalangan mereka supaya datang menghadap Beta dalam sehari dua ini,” titah Shakranta.
“Baik, Tuanku.”
§ § §
Shakranta kembali bersandar di kerusi empuknya. Merenung perkembangan pesat yang bakal berlaku di negerinya di hari mendatang. Sang Rama Vijaya tidak lagi menjadi ancaman ketara kepada Amdan Negara, selepas bala tenteranya rebah tersungkur terkena penangan angkatan Rajendra Chola di Kedah Negara tujuh tahun yang lalu.
Maka Terengganu Primula Negara dan Pahang Indera Pura lantas merebut peluang keemasan yang terbit tatkala itu untuk mengisytihar merdeka daripada cengkaman Palembang Srivijaya. Keduanya segera berpakat dengan Amdan Negara, lalu menubuhkan sebuah bala tentera gabungan untuk perlindungan bersama. Bala tentera yang bergelar Angkatan Pantai Timur, dengan Shakranta sebagai Panglima Agung yang pertama.
Sang Rama Vijaya tiada pilihan selain balik ke negeri asalnya di Palembang dalam aib kalah perang. Sementara takhta Kedah Negara diberikan oleh Rajendra Chola untuk diduduki oleh Sri Deva, seorang saudara sebapa kepada Sang Rama Vijaya. Sri Deva sendiri bundanya daripada titisan zuriat raja Kedah Negara zaman silam, namun permaisuri pertamanya daripada kalangan kerabat Palembang. Sementara permaisuri keduanya, seperti bundanya juga, berketurunan raja Kedah Negara zaman silam.
Manakala Amdan Negara pula kini berdiri megah sebagai satu-satunya negeri di Rantau Tenggara yang telah terbukti mampu menangkis dan menewaskan serangan sebuah bala tentera Chola Mandalam. Berkat tentangan hebat dengan daya juang amat tinggi oleh Angkatan Pantai Timur, yang melihat Amdan Negara sebagai benteng hadapan terhadap ancaman bala tentera Chola Mandalam yang bergerak dari utara, dari Patani Seri Negara.
“Jika hendak dibuat sendiri baju rantai itu di negeri kita,” Isabelle keluar semula dari dapur, membawa air nira segar dalam sebuah cetong besar untuk suaminya. “akan memerlukan bijih besi yang banyak untuk menampung keperluan kita, Kanda. Mengambil kira besi yang juga diperlukan untuk membuat lain-lain senjata. Cukupkah bekalan yang boleh kita dapati?”
“Setahu Kanda … di Terengganu Primula Negara ada mendakan bijih besi yang banyak di sebuah kawasan bukit. Kita boleh membeli daripada mereka … dengan itu membantu mereka memperdiri kembali iktisad negeri yang roboh sekian lama.”
Itulah kelebihannya menjadi negeri merdeka, fikir Isabelle. Bebas bergerak dan bertindak mengikut selera dan kemahuan sendiri. Tanpa dipantau dan dikawal oleh kuasa asing.
“Dinda dengar … di Pulau Sulawesi juga … ada terdapat bijih besi yang banyak.”
“Oh! Baru Kanda teringat. Memang benar begitu, Dinda. Nama pulaunya pun asalnya membawa makna ‘lombong besi’.”
“Kalau begitu … kita boleh hantar seseorang ke sana … untuk menggerakkan usaha membeli bijih besi secara besar-besaran dari sana. Jika apa yang kita beli melebihi keperluan … kita boleh simpan dulu di Amdan Negara … dan kita jual balik kepada pembeli lain yang berminat.”
“Suatu cadangan yang baik, Dinda. Orang-orang di sana juga amat pandai membuat kapal. Kapal-kapal pedewakan mereka tinggi dan besar agam seni binanya, dan indah nian reka ciptanya. Sesuai digunakan baik sebagai bahtera dagang … mahupun sebagai bahtera perang. Kalau begitu … kita hantar Dalim ke Sulawesi untuk melaksanakan suatu tugas baru … membeli bijih besi dan kapal pedewakan.”
“Itu memang kena sekali, Kanda … kerana dia pun berdarah Bugis di sebelah bapanya … dan masih ada ramai sanak saudara di sana. Dinda rasa … dia akan menerima tugasan ini dengan bahagia hati jika diberikan kepadanya.”
Sebagai sebuah pusat perdagangan hasil tani serta hasil alam, Amdan Negara kini telah bangkit kembali. Begitu juga sebagai sebuah pusat jual beli aneka barangan dagang dari negeri asing. Kalaulah perusahaan membuat baju rantai dan pelbagai senjata, perusahaan barangan besi yang lain serta perusahaan bina kapal juga dapat dimajukan dengan jayanya, semua itu akan mencipta tahap kemakmuran dan kesejahteraan yang tidak pernah terasa sebelum ini oleh Amdan Negara sebagai negeri berdagang.
Shakranta melayani lamunannya, sambil terus menghirup air niranya.
§ § §
Ozalan menonggang kuda jantan mudanya, Shahpur, pada rentak berjalan, kemudian menderap perlahan. Pada rentak sebegitu, kaki Shahpur bergerak dan menghentak bumi secara berasingan. Dengan itu memudahkan Ozalan memeriksa dengan lebih teliti dan memastikan kalau-kalau terdapat sebarang ketempangan ataupun ketegangan otot atau sendi pada kuda itu. Akibat ia jatuh tersungkur ketika latihan melompat halangan sehari sebelumnya.
Mujurnya, gaya pergerakan Shahpur yang lancar tanpa cacat menandakan tidak berlaku sebarang kecederaan kepadanya. Seterusnya dia memberhentikan pemeriksaannya dan mula melakukan kerja selanjutnya. Dari sudut matanya dia ternampak Chinta Kirana yang sedang menuju ke arahnya.
“Abang Oja,” Chinta Kirana menghampiri Ozalan yang kelihatan sedang berbuat sesuatu pada kaki kuda jantan mudanya, Shahpur. Manakala, Khanum, anak kuda betina kesayangan Chinta Kirana, meragut-ragut berhampiran.
“Ya, Chinta.”
“Abang Oja duk buat apa tu?”
“Abang duk pasang ladam pada kuku Shahpur. Untuk melindungi kukunya.”
Ozalan bermula dengan kaki hadapan Shahpur. Kaki kuda itu dikepitnya pada kelangkangnya.
“Ladam tu apa, Abang Oja?”
“Ladam tu, bagi kuda, macam kasutlah, untuk kita. Cuma, ia diperbuat daripada besi. Jadi, kalau dipakaikan kepada kaki kuda, membuat lebih selesa pergerakannya dan mencegah kecederaan kepada kuku dan telapak kakinya.”
“Ohhh. Bagus tu. Di manakah Abang Oja belajar cara-caranya?”
“Di Byzantium dan di Parsi … semasa Abang Oja merantau di sana.”
“Agak sukar kerjanya, Chinta tengok.”
“Tidaklah terlalu sukar … tapi tidak juga terlalu senang … cuma … ia kena dibuat dengan cermat … di samping memerlukan kekuatan dan kecergasan yang mencukupi. Kerana … jika kuda terasa terlalu nyilu atau sakit semasa kukunya diasah atau dipotong, ia mungkin menerajang, memijak atau menggigit.”
“Begitu sekali?”
“Ya. Maka, orang yang memasang ladam itu seharusnya fasih benar dengan kerenah kuda. Kalau kuda itu mendengus, misalnya, bermakna ia merasa tidak selesa kerana sesuatu.”
“Abang Oja nampaknya berpeluh sampai basah kuyup.”
“Ummm, ya lah. Kerjanya agak banyak menggunakan kekuatan. Kuku Shahpur ni, misalnya, kena dibersih dan diasah dulu. Tebal dan lebar telapak kakinya kena diukur, ladam yang padan dipilih, kemudian dipaku ke kukunya. Di samping membujuk Shahpur dan mengawalnya supaya dia sentiasa tenang dan tidak bergerak secara mendadak.”
Selesai kaki hadapan, kaki belakang Shahpur pula yang dikerjakan. Kaki itu dikepit oleh Ozalan pada lengannya.
“Mengapa … bila meladam kaki belakang … kakinya hanya dikepit di lengan? Bukankah lebih kuat jika dikepit di kelangkang … seperti tadi?” Chinta Kirana bertanya.
“Supaya Abang lebih mudah mengelak dan melepaskan diri kiranya Shahpur menendang atau memijak dengan kaki belakangnya kerana berang.”
“Mengapa kukunya perlu diladam? Sebelum ni … kuda-kuda Ayahanda dan Bunda tak pernah diladam pun, Chinta tengok.”
“Kerana … ladam yang elok, selesa dan padan … mencegah kuku kuda daripada retak ataupun pecah. Terutamanya bagi kuda perang. Ia juga mengelakkan luka atau cedera pada telapak kaki kuda itu. Tapi, sebelum ini, tiada orang yang tahu melakukannya di sini. Abang akan meladam Kshatriya dan Srikandhi dalam sehari dua. Hari ini Abang selesaikan dengan Shahpur dan Khanum dulu.”
“Abang sudah memberitahu Ayahanda dan Bunda tentangnya?”
“Sudah. Kedua mereka memang tahu tentang kelebihan memakaikan ladam pada kaki kuda. Tapi mereka mahu melihat hasil kerja Abang pada Shahpur dan Khanum terlebih dahulu.”
Chinta Kirana terdiam sejenak, sambil terus memerhatikan dengan asyiknya Ozalan melakukan kerjanya.
“Abang Oja,” Chinta bersuara semula.
“Ya, Chinta,” Ozalan duduk bersandar di batang pokok, berehat seketika selepas selesai meladamkan Shahpur.
“Selama Abang Oja di perantauan … mestilah sentiasa seronok … kan?”
“Ummm … ada masanya seronok … ada waktunya perit menghadapi rintangan dan halangan … ada ketika seperti terduduk dilanda kerinduan.”
“Kerinduan?”
“Ya … kerinduan syahdu … kepada tanah air dan kampung halaman … kepada sahabat dan teman.”
“Itu saja?”
“Juga seisi keluarga Mahligai Dharmakusuma … Mak Utih, Pak Utih, Mak Busu, Pak Busu, kawan-kawan pengawal, Tuk Masoud, Tuk Nibung, Tuk Pinang, Puanku Isabelle, Tuanku Shakranta, Puanku Kembang Seri Wangi …”
“Dan lagi?”
“Dan … sudah semestinya … Puteri Chinta Kirana.”
“Mengapa Chinta yang akhir sekali?”
“Kerana Chinta … yang paling istimewa.”
“Alah, Abang Oja ni. Dah pandai mengada pulak sekarang ni.”
“Ya lah, kan. Maklumlah … dah lama tak bertemu kan … teringin juga nak mengusik dan bergurau.”
“Abang Oja,” Chinta Kirana meneruskan.
“Ya, Chinta.”
“Chinta tengok … berbanding dengan sebelum Abang Oja pergi dulu … Abang Oja semakin sasa dan perkasa … dan … semakin hebat. Seperti seorang kesatria gayanya.”
“Eh eh … betul ka ni? Abang Oja sendiri tak perasan pulak.”
“Ya lah … sebab diri Abang Oja sendiri … tiap-tiap hari Abang Oja duk tengok … manalah nak perasan.”
“Yang Abang Oja perasan … Chinta tu. Hah … masa Abang Oja nak pergi dulu … masih macam kanak-kanak. Bila Abang Oja balik semula … dah jadi dara remaja … begitu ayu, jelita dan manis mempesona.”
“Abang Oja ni. Dah mula la tu …”
“Abang Oja berkata benda yang betul, Chinta.”
“Baiklah, Abang Oja. Chinta pergi dulu, ya. Chinta nak ke rumah Ayu Dewi. Dah lama kami tak berjumpa dan berceloteh berdua. Sambil-sambil tu, Chinta boleh tengok Mak Cik Delima Wati menganyam tikar mengkuang. Bolehlah belajar-belajar sikit dengan dia.”
“Baik, Chinta. Hati-hati dalam perjalanan. Chinta nak Abang Oja datang ambil Chinta ka nanti?”
“Boleh juga. Abang Oja bawakan Khanum bersama Abang. Nanti Chinta boleh balik menonggangnya bersama Abang.”
“Baiklah. Abang beransur bergerak ke sana selepas Abang selesai meladamkannya nanti.”
Chinta Kirana mengambil jalan ke rumah kawannya yang melalui kawasan sawah. Agar dapat melihat padi yang baru mula menguning. Sepanjang jalan dia bernyanyi-nyanyi lagu-lagu gembira kegemarannya.
§ § §
Cuaca kini panas membahang. Saban hari, sang suria memancar gemilang penuh kemegahan. Sinarnya menghangatkan biji-biji padi di tangkainya tanpa henti, dari pagi hingga ke senja, membuat biji-biji padi itu beransur semakin matang. Musim menuai hampir menjelang tiba.
Tangkai-tangkai padi di jajaran demi jajaran pokok padi menari-nari lemah gemalai dibelai angin lembut, bagaikan barisan ombak yang beralun tanpa henti hingga ke hujung sawah. Sekumpulan pesawah sedang duduk bersantai di sebuah dangau kecil beratap sagu. Mengisi masa mereka dengan berceloteh, menghisap rokok daun, mengunyah sirih pinang ataupun melakukan kerja ringan. Sekali-sekala salah seorang daripada mereka bangun menggerakkan tali kendali orang-orang untuk menghalau pelbagai burung yang datang ingin berkenduri jika tidak dihalang. Beberapa orang anak mereka mengambil peluang untuk menguji kehandalan mereka menggunakan pembidas.
Seorang wanita daripada kalangan kumpulan pesawah itu menjenguk ke luar melalui jendela ringkas berbingkai buluh, menyedut asap rokok daunnya dengan penuh nikmat, lalu menghembuskannya semula perlahan-lahan ke udara. Seorang gadis remaja kelihatan berjalan meniti batas, ke arah sisi dari dangau mereka. Melindungi kepalanya daripada panas terik dengan kain kelubung berwarna biru keunguan, coraknya berbunga-bunga. Gadis itu seperti pernah dilihatnya sebelum ini.
“Wei lah!” wanita tadi bersuara, nadanya seperti teruja. “Tu … tengok tu … Mak Nik … gadis itu … bukankah dia … Puteri Chinta Kirana kan neh tu?”
“Mak Ngah ni betul ka, atau kemamar agaknya,” rakannya bangun perlahan-lahan lalu ikut menjenguk. “Ya! … betullah … memang dia rupanya. Wei lah! … dah jauh lebih tinggi dan besar daripada dulu. Amboi amboiii, cantiknya dia la ni. Macam bidadari gayanya. Heiii … geramnya aku tengok.”
“Yang dema duk geram tu buat apa?” seorang lelaki di antara mereka, suami Mak Nik, menyampuk. “Dema tu jantan ka?”
Kawannya yang sekelamin lagi, Mak Wan dan Pak Wan, ketawa terbahak-bahak dengan lawak jenakanya.
“Tuan Puteri!” Mak Ngah menyapa gadis itu apabila dia semakin menghampiri dangau itu. “Apa khabar Tuan Puteri? Wei lah … lamanya sudah kami tidak bertemu dengan Tuan Puteri.”
“Khabar baik,” gadis itu membalas. “Dema semua apa khabar?”
“Khabar baik, Tuan Puteri,” kumpulan pesawah itu menjawab hampir serentak.
“Padi dema semua tahun ini macam mana? Menjadi ka? Kita tengok cantik dan subur rupanya.”
“Memang begitulah nampaknya, Tuan Puteri,” jawab Mak Nik. “Tengok gayanya, musim mengetam tahun ini bolehlah kita berpesta besar. Jemputlah singgah di dangau kami barang sedetik dua. Ada ubi kayu bakar, jering rebus dengan kopi pekat.”
“Tak apalah, Mak Cik. Terima kasih ajalah. Kita nak cepat ni.”
“Tuan Puteri menghala ke mana tu?” tanya Mak Ngah pula.
“Kita nak ke rumah Mak Cik Delima Wati. Sudah lama Kita tidak berkunjung ke sana.”
“Oh, rasanya, dia memang ada di rumah waktu ini,” balas Mak Ngah. “Bersama anak gadisnya, si Ayu. Baik-baik di perjalanan ya, Tuan Puteri.”
“Terima kasih,” gadis itu meneruskan perjalanannya.
“Semakin cantik puteri kita tu nampaknya, tidak kan neh?” ujar Mak Ngah kepada kawan-kawannya. “Ceria gembira pula kelihatan seri durjanya. Tidak lagi sentiasa bermuram durja seperti dulu.”
“Wei lah, dah tentulah, Mak Dia,” balas Pak Ngah, mengulas pemerhatian isterinya. “Orang baru bertemu semula dengan buah hati tersayang, katakan.”
“Pandai-pandai aja, Ayah Dia ni,” balas Mak Ngah. “Buah hati mana pulak tu?”
“Alah, takkanlah itupun Mak Dia tak tau. Si Oja tu lah. Kan dia baru balik dari perantauan?”
“Maksud Ayah Dia, Ozalan, pemuda Turkestan tu?”
“Ya lah, Oja yang mana lagi?”
“Tapi … Ozalan tu … bukankah bekas anak abdi, Ayah Dia?” Tanya Mak Ngah lagi. “Mungkinkah Raja Shakranta dan permaisurinya … boleh menerima Oja … pekerja suruhan mereka sendiri … sebagai menantu mereka?”
“Itu tak menjadi hal, hamba rasa, Mak Ngah,” suami Mak Nik pula memberi pendapatnya. “Kerana Raja Shakranta tu bukan raja sembarangan. Baginda raja pahlawan yang berpendirian hebat … tidak memilih darjat … tapi mementingkan perwatakan.”
“Alah, Che Dia pun,” isterinya mencelah. “Macamlah Che Dia tu pandai sangat.”
“Tu la, Mek Dia. Dema tu tahu apa?” Pak Nik membentak. “Pandai tanam padi dengan pelihara itik aja. Bukankah suatu waktu dulu Raja Shakranta pernah menolak bulat-bulat pinangan Maharaja Sang Rama Vijaya? Kerana cara maharaja itu menyampaikan hasratnya kurang beradab.”
“Itu lima tahun dulu, Che Dia,” balas Mak Nik. “Waktu tu, bukankah Puteri Chinta Kirana tu baru berumur dua belas tahun?”
“Betul juga kata Pak Nik tu, Mak Nik,” ujar Mak Wan. “Lagipun, masa Raja Shakranta menikah dengan Permaisuri Isabelle dulupun, yang baginda tahu cuma Isabelle tu bekas gadis abdi. Baginda sendiri yang menyelamatkan Isabelle semasa di Byzantium, kemudian membawanya balik ke Amdan Negara, ketika dia masih berumur dua belas tahun. Untuk menjaga dan mendidik anak-anak kuda baginda. Dah tujuh tahun kemudian, bila Chinta Kirana dah berumur setahun lebih, barulah Isabelle buat pengakuan bahawa dia asalnya seorang puteri.”
“Alah wei,” Pak Ngah menyambung semula. “Mak Dia, Mak Nik, Pak Nik, Mak Wan, Pak Wan. Dema semua tengoklah nanti, betul ka tidak jangka hamba. Puteri Chinta Kirana tu nanti, hamba kata, tak akan dapat ke tangan orang lain punya, selain daripada si Oja tu. Dulupun, Oja juga yang menyelamatkannya. Ketika dia nyaris diculik oleh si Gadang, Ketua Pengawal masa itu yang rupa-rupanya menjadi tali barut Maharaja Sang Rama Vijaya.”
§ § §
Dua purnama berlalu. Saudagar Mehrdad tiba di Bukit Panau dari persinggahannya di Singhala Nagara. Dia membawa hadiah yang mahal-mahal untuk diberikan kepada keluarga Dharmakusuma.
“Dan ini, hadiah khas daripada Ayah hamba, Saudagar Ashgar, kepada Tuanku Shakranta. Pedang samsir Parsi ditempah khas dengan waja nirkarat … diperbuat daripada besi terbaik dari Hamadan.”
Seminggu selepas ketibaan Saudagar Mehrdad, Mahligai Dharmakusuma menerima kunjungan sahabat lama Shakranta dari Jambi. Sahabat akrab yang sama mengembara dan sama berperang dengannya di Lavo dan di Angkor Kemboja. Ketika mereka berdua berkhidmat sebagai pahlawan perantau dengan bala tentera Negara Seri Dharmaraja pimpinan Raja Sujita. Saudagar Shankara membawa bersamanya isteri dan anak gadisnya yang hampir sebaya usianya dengan Chinta Kirana.
§ § §
990 Masihi, di Khazar, Khwarezm dan Parsi Abbassiyah (imbas balik).
Setelah beberapa lama, Putera Sarjuq menjadi mangsa sengketa perebutan kuasa di kalangan para pembesar kerajaan Khazar. Lalu dia lari membawa diri ke negeri Khwarezm. Sarjuq seterusnya bersengketa dengan seorang Yabghu di sana dan menewaskannya. Lalu dia dilantik menjadi Kudarkin, iaitu Panglima Agung puak Turkmen Oghuz. Seterusnya dia memeluk ajaran yang baru dianuti oleh jumlah pengikut yang semakin bertambah di kalangan puak Turkmen Oghuz. Ajaran yang bernama Islam ... bawaan seorang yang bernama Muhammad ... dari Semenanjung Hejaz di Tanah Arab.
Kepimpinan Sarjuq seterusnya beralih kepada puteranya Arslan Israil ibnu Sarjuq. Akhirnya, seorang putera Arslan Israil bernama Toghril Beg memimpin sebuah bala tentera Turkmen Oghuz yang besar lalu menyerang dan menewaskan kerajaan Parsi Abbasiyah. Kerajaan yang sebelum itu ramai pahlawan Turkmen Oghuz berkhidmat dengannya sebagai tentera upahan. Dengan itu, puak Turkmen Oghuz pimpinan Toghril Beg menakluki seluruh wilayah negeri Parsi Abbasiyah serta jajahan takluknya. Demikianlah bangkitnya sebuah wangsa pemerintah yang baru di Rantau Barat. Wangsa yang diberi nama mengambil sempena datuk kepada Toghril Beg ... iaitu … Wangsa Sarjuq.
§ § §
No comments:
Post a Comment