Friday, December 3, 2010

18: Gelisah Cinta Kirana

§        §        §
Chinta Kirana merenung jauh ke ufuk barat. Memerhati penuh syahdu sang surya yang beransur menghilang diri di belakang tabir gunung-ganang nan tinggi menjulang.

Sejak ketiadaan Ozalan, dirinya terasa seperti hilang pedoman. Semua yang dibuatnya terasa seperti tidak kena. Makan tak lalu, mandi tak basah, tidurpun tak lena. Jiwanya sering diburu bimbang. Gundah gulana tak henti meruntun kalbu. Lalu bagaimanakah agaknya dia mampu melalui hari-hari mendatang … hari-hari yang semakin sepi … sendiri … Alangkah baiknya andainya dirinya tiba-tiba beroleh kesaktian … yang memberi upaya kepadanya … untuk berkirim dan bertanya khabar berita … dengan sang bayu ataupun sang bulan … kepada orang yang tercinta …

Bila terasa terlalu rindu … hanya Shahpur kuda jantan muda Ozalan … dan Khanum anak kuda betina kesayangannya sendiri … yang menjadi tempat mengadu. Chinta Kirana akan membawa kedua haiwan itu bersiar-siar … menonggang keduanya bergilir-gilir … bertutur kata dengan mereka … dan mereka seolah-olah memahami derita jiwanya.

“Oh hujan … bersihkanlah wajahku … daripada air yang menitis dari mataku. Oh angin … redakanlah diriku … daripada resah yang membunga dari hatiku.” Demikian dia sering merintih kepada puteri-puteri alam … mereka yang juga menjadi sahabat setianya.

Raja Shakranta dan permaisurinya Ratu Isabelle turut terburu kerisauan melihat gelagat puteri kesayangan mereka yang semakin tak keruan. Puteri yang kini berumur tiga belas tahun … pangkal usia remaja yang sememangnya mengundang aneka pancaroba …

Kepergian Ozalan pun atas kehendak Shakranta jua. Demi keselamatan serta kesejahteraan bumi Amdan Negara. Dia berkunjung ke kota Konstantinople, di negeri Byzantium, untuk memperoleh kelengkapan ketenteraan baru yang diperlukan. Di samping menyuburkan kembali hubungan baik dengan kawan lama. Serta melebarkan jaringan siasah dan iktisad dengan negeri yang ingin bersahabat. Juga berusaha membuka pasaran baru untuk barangan dagang dari Amdan Negara, sekaligus seluruh Persekutuan Langkasuka.

Shakranta dan Isabelle memang tahu benar, bahawa puteri mereka itu amat rapat dan manja dengan Ozalan. Sejak kecil lagi Chinta Kirana menganggap Ozalan sebagai seorang abang. Namun mereka tidak menyangka dia akan merindui Ozalan hingga sebegitu rupa. Hendak dikatakan keresahan gadis bercinta, anak gadis itu baru sahaja mencecah usia remaja.

Namun kerinduan Chinta Kirana terhadap Ozalan ternyata melebihi dambaan cinta seorang wanita yang jauh lebih dewasa. Apakan daya Shakranta dan Isabelle. Tiada apa yang mampu mereka lakukan. Selain terus menjaga dan membelai puteri tunggal mereka dengan penuh kasih sayang ibu bapa. Di samping bersabar menunggu kepulangan Ozalan ke bumi Langkasuka. Serta sering berdoa agar kesejahteraan sentiasa menyelubungi dirinya.

§        §        §
“Chinta,” Isabelle menyapa puterinya.

“Ya, Bonda,” jawab Chinta Kirana.

“Anakanda ... kurang sihat kah?”

“Tidak, Bunda. Anakanda biasa aja. Mengapakah Bunda bertanya begitu?”

“Tidak ada apa-apa. Cuma ... Bunda lihat seperti ... Anakanda tidak begitu bermaya sejak akhir-akhir ini. Kiranya ada sesuatu ... yang membuat Anakanda gundah gulana ... berkongsilah ia dengan Bunda. Kerana ... sesuatu beban yang berat itu, kalau ditanggung bersama, maka akan menjadi ringanlah ia.”

“Tapi, Bunda. Ia sesuatu yang terlalu peribadi. Malu pula rasanya Anakanda untuk memberitahu Bunda.”

“Kalau begitu, baiklah. Bunda tidak akan memaksa Anakanda. Bagaimanapun, Bunda ini adalah ibu. Sebagai seorang ibu, Bunda bertanggungjawab membantu Anakanda bila-bila diperlukan.”

Kedua mereka kemudian terdiam sejenak.

“Mmmm, Bunda,” Chinta Kirana tiba-tiba bersuara semula.

“Ya, Anakanda.”

“Bunda ... pernahkah mengalami ... perasaan yang dipanggil orang ... cinta?”

“Cinta? Cinta seperti ... sayang?”

“Ya”

“Ohhh. Itu sesuatu yang sentiasa Bunda alami. Sebagaimana Bunda sentiasa cinta dan sayang kepada Anakanda.”

“Alah, Bunda ni. Buat tak faham pulak.”

“Habis, cinta yang bagaimana pula tu?”

“Maksud Anakanda, cinta yang kita rasa terhadap seseorang yang kita sayang, tetapi orang itu bukan anak kita, atau ibu bapa kita, atau saudara kandung kita.”

“Ohhh, cinta itu. Pernah. Cuma ... Bunda terpaksa memendamkannya untuk beberapa lama ... ... kerana Bunda merasakan ... keadaan di waktu mulanya ... belum sesuai masanya.”

“Maka, siapakah orangnya?”

“Cubalah Anakanda teka”

“Ayahanda, kan?”

“Betul. Tepat sekali.”

“Bunda seorang wanita yang sungguh bertuah.”

“Kerana?”

“Kerana Bunda bertemu dengan seorang lelaki yang hebat seperti Ayahanda.”

“Anakanda juga akan bertemu dengan seseorang seperti itu suatu hari nanti. Bunda pasti.”

“Mmm ... Bunda. Sebenarnya, Anakanda rasa, Anakanda memang sudah menemui orang itu. Cuma ... entahlah ...”

“Anakanda ... usia Anakanda masih terlalu muda. Janganlah terlalu dirisaukan tentang cinta atau perkara yang serupa. Anakanda masih mempunyai banyak masa lagi dalam hidup Anakanda. Bila tiba masanya nanti, segala-galanya akan muncul dan berlaku seperti yang Anakanda idamkan. Janganlah Anakanda begitu bimbang.”

Chinta Kirana terdiam sejenak.

“Anakanda ... merindui ... Oja ... kan?”

Tiba-tiba Chinta Kirana meluru ke arah ibunya, membenamkan mukanya di dada wanita yang tinggi lampai itu, dan memeluknya rapat-rapat.

“Benar, Bunda,” jawab Chinta Kirana dengan nada agak syahdu. “Bagaimanakah Bunda dapat meneka?”

“Hai, Anakanda. Bunda ni kan orang lama. Sekelibat ikan di air, sudah Bunda tahu jantan betinanya.”

“Bunda. Anakanda khuatir ... kalau-kalau ... sesuatu yang tidak diingini ... menimpa Abang Oja ... dan dia tidak kembali ke Amdan Negara ... dan ... ke kediaman kita ini.” Suaranya seperti mula sebak.

“Tidak, Chinta. Janganlah itu yang Anakanda bimbangkan. Oja itu bukan seorang pemuda sembarangan. Anakandapun pasti sudah tahu, kan? Dia akan pandai menjaga dirinya. Malah, itulah yang membuat Ayahanda dan Bunda sendiri memilihnya untuk menyempurnakan tugas yang mencabar seperti itu. Kerana dialah orang yang kami berdua anggap paling sesuai dan berkemampuan untuknya.”

“Terima kasih, Bunda. Kerana begitu prihatin terhadap Anakanda.”

“Sama-sama, Anakanda. Sekarang, apa kata kalau kita keluar menonggang bersama. Menghirup angin segar serta nyaman di pinggir desa dan dilereng bukit. Sambil melihat padi yang sedang menguning, dan buah-buahan yang hampir masak.”

“Itu cadangan yang baik, Bunda. Anakanda juga sudah agak lama tidak menonggang. Shahpur, kuda Abang Oja, pun pasti menginginkan sedikit larian di kawasan lapang. Menderap, meligas dan merejang hingga sepuas hatinya.”

Tiba-tiba kedengaran ringkikan galak seekor kuda jantan remaja dari sekitar pekarangan istana. Shahpur, kuda Ozalan, rupanya. Seolah-olah ia dapat mendengar dan memahami perbualan di antara Chinta Kirana dan ibunya.

“Kalau begitu, biar Bunda menonggang Srikandhi, dan Anakanda menonggang Shahpur.”

“Baiklah, Bunda. Dan kita bawa Khanum ikut bersama.”

§        §        §
Selepas beberapa lama menonggang, menghirup udara nyaman dan menonton alam nan indah, merentas lereng bukit, tanah ladang, sawah padi dan lembah sungai, Isabelle mengajak puterinya bersiar-siar di taman bunga pula.

“Bunda dulupun … kali pertama bertemu Ayahanda di Byazantium … masih gadis sunti, kan?” Chinta Kirana memetik sekuntum mawar ungu, menghirup keharuman baunya.

“Ya. Ketika itu Ayahandamu berusia hampir sebaya dengan Ozalan kini. Kalau lebihpun sedikit aja.”

“Bunda dan Ayahanda … adakah jatuh cinta … pada pandang pertama?”

“Oh, tidak. Bunda ketika itu baru berusia dua belas tahun … setahun lebih muda daripada anakanda kini. Begitupun Bunda memang mengaguminya … kerana dia jelas kelihatan seperti seorang kesatria hebat … namun di wajahnya terpancar cahaya hati murni yang terisi belas ehsan.”

“Lalu … bagaimanakah bermulanya … kisah pertemuan pertama … Bunda dan Ayahanda?”

“Bunda ketika itu gadis abdi … di kalangan beberapa ramai abdi lain yang pemilik kami sedang berusaha menjual … maka bagi orang seperti kami … sentiasa berharapkan mendapat seorang tuan yang baik hati. Kebetulan … Ozalan dan juga ibunya Kordelia … juga dimiliki oleh saudagar abdi yang sama … Kolanos namanya.”

“Ayahanda tidak tahu … ketika itu … yang Bunda asalnya seorang puteri?”

“Tidak. Bunda hanya memberitahunya tentang itu setelah Anakanda berusia dua tahun lebih.”

“Mengapa pula Bunda berahsia begitu?”

“Kerana Bunda mahu memastikan … bahawa sekiranya dia mengahwini Bunda … ia adalah kerana cinta sejati yang tulus murni … bukan kerana dia mengagumi darjat atau asal usul Bunda.”

“Ummm, pandai betul Bunda ni. Habis … apakah peristiwa … yang membuat Bunda dan Abang Oja … ikut belayar bersama Ayahanda ke bumi Langkasuka?”

“Ketika Ayahandamu hampir beredar dari tempat Bunda … entah bagaimana … Bunda berjaya meyakinkannya … supaya membeli Bunda untuk membantunya … mendidik dan menjaga sepasang anak kuda perang Norman yang baru dibelinya.”

“Kshatriya dan Srikandhi?”

“Benar.”

“Itu saja?”

“Ya. Pada mulanya … itu saja. Bunda sekadar menginginkan seorang tuan yang baik hati … dan Ayahandamu pula … dia memerlukan seorang pekerja yang berkemampuan mendidik anak-anak kudanya … supaya membesar menjadi … kuda-kuda perang yang hebat. Cinta kami hanya berbunga ketara … lima tahun selepas detik pertama. Sungguhpun ia mungkin sudah mula berputik … lama sebelumnya.”

“Bagaimana pula dengan Abang Oja?”

“Keesokan harinya … sebelum bertolak meninggalkan kota Konstantinople … Bunda mengajak Ayahandamu ke pasar abdi untuk kali terakhir … untuk Bunda mengucapkan selamat tinggal kepada sahabat Bunda … iaitu Kordelia dan Ozalan dua beranak.”

“Lalu?”

“Bunda terserempak dengan Ozalan. Dia sedang menangis teresak-esak. Bila ditanya mengapa … dia memberitahu Bunda … bahawa ibunya meninggal dunia. Menjadikannya yang berusia lima tahun ketika itu … seorang anak yatim piatu.”

“Kesiannya Abang Oja. Kemudian?”

“Kolanos tiba-tiba muncul dan membedalnya dari belakang dengan rotan … kononnya kerana Ozalan merayau terlalu jauh dari tempatnya.”

“Wei lah … teruknya orang tu, ya Bunda?”

“Memang. Kolanos seorang saudagar abdi yang kejam dan ganas. Bunda cuba melindungi Ozalan … tapi tidak berkemampuan.”

“Bagaimana?

“Bunda menggigit lengan Kolanos sambil bergayut dilengannya … supaya dia berhenti merotan Ozalan. Tapi Kolanos menumbuk kepala Bunda hingga Bunda rebah tersungkur.”

“Habis?”

“Ayahandamu membelasah Kolanos sehingga pengsan. Kemudian … dia mengajak Ozalan ikut bersama kami.”

“Habis … Ayahanda membawa Bunda dan Abang Oja … pulang ke Amdan Negara … sebagai abdinya?”

“Tidak. Tidak sebagai abdi. Dia memerdekakan kami berdua sebaik saja kami berada di dalam bahteranya ... sebelum bahtera belayar. Dia memberi kami pilihan … sama ada mahu pergi ke mana-mana tempat yang kami suka … atau ikut belayar bersamanya ke Amdan Negara. Kami memilih untuk ikut bersamanya.”

“Oh, hebatnya. Begitu indah kisah pertemuan Bunda, Ayahanda dan Abang Oja.”

§        §        §

No comments:

Post a Comment