Thursday, December 2, 2010

Bab 11: Dewi Rimba


Beberapa tahun berlalu ...
Delima Wati, anak gadis sunti berusia lima belas tahun, tahun melangkah kaki perlahan-lahan meninggalkan rumahnya. Membawa bersamanya bekalan nasi dan lauk pauk ke dangau, yang terletak berhampiran sawah, untuk kedua orang tuanya serta abang dan kakaknya.

Hari itu cuaca tidak begitu panas. Sang suria seperti bermain sorok-sorok, sekejap muncul menyinar, sekejap menghilang diri di balik kepulan awan. Musim mencabut baru berlalu. Pokok padi muda sudah dicabut dari bendang untuk ditanam semula di sawah.

Delima Wati mengelui semua itik, itik serati dan angsa peliharaan keluarganya supaya mengikutinya. Unggas ternak itu akan memakan segala siput dan gondang, ulat, pianggang dan kekabur, serta pelbagai serangga dan makhluk perosak lain yang merosakkan tanaman padi. Maka semua itu akan menjadi zat berkhasiat yang akan menggemukkan haiwan itu dan menyuburkan dagingnya serta membanyakkan telurnya. Manakala najisnya pula akan hancur bercampur air menjadi baja lalu menyuburkan lagi tanah sawah.

Keluarga Delima Wati mempunyai sebidang tanah sawah yang mereka usahakan sendiri lima beranak. Ketika lapang mereka juga mengambil upah membantu mengerjakan sawah dan ladang milik keluarga Dharmakusuma yang luas terbentang, saujana mata memandang. Seperti yang juga dilakukan oleh ramai lagi saudara-mara dan sahabat-handai mereka di kampung itu.

Dalam perjalanannya ke sawah Delima Wati biasanya melalui kawasan tanah ladang milik keluarga Dharmakusuma. Sering kali dia akan bertemu dengan Isabelle, anak gadis asing berambut perang bermata biru yang bekerja sebagai penjaga kuda dengan keluarga Dharmakusuma. Kini Isabelle yang peramah dan mudah mesra itu menjadi sahabat baiknya.

Namun, sudah lebih sepuluh hari dia tidak ternampak kelibat Isabelle. Mengikut berita yang didengarinya, Isabelle hilang dari rumah tuannya selama seminggu lebih. Baru sehari dua dia ditemui semula semasa sedang bermain-main di tengah hutan. Suatu perlakuan yang aneh, fikirnya.

Dalam Delima Wati asyik mengelamun, tanpa di sedarinya dia sampai ke kawasan tanah ladang keluarga Dharmakusuma. Dia ternampak Isabelle yang hanya duduk bermenung di atas sebatang kayu buruk berhampiran kedua kuda jagaannya. Melihat kawan baiknya sesudah beberapa hari tidak berjumpa membuatnya agak teruja.

“Isabelle!” Delima Wati bersuara. “Wei lah, lamanya tak nampak.”

“Wati!” Isabelle tersentak sedikit. “Kamu rupanya.”

“Kamu tidak memandikan Kshatriya dan Srikandhi hari ini?” Delima Wati bertanya.

“Tidak, Wati,” Jawab Isabelle. “Aku masih terlalu lemah. Mungkin besok atau lusa aku bawa mereka ke tasik.”

“Oja tidak mengiringimu hari ini?”

“Ada. Dia sedang menghimpun buah kelapa tua, nun di sebelah sana. Mak Utih yang memintanya.”

“Dia memanjat sendiri?”

“Tidak. Walaupun dia boleh memanjat. Kerana dia sudah pandai mengendalikan si Bubu, beruk kami berdua, untuk memanjat dan memetik.”

“Oh, baguslah. Kalau cara begitu, tidaklah begitu memenatkan. Apa khabar kau, Isabelle?”

“Baik-baik aja,” jawab Isabelle.

Namun, mukanya kelihatan agak pucat dan cengkung, fikir Delima Wati.

“Ke mana kau menghilang diri? Aku dengar, seluruh Mahligai Dharmakusuma kecoh dengan  kehilanganmu. Terutamanya Tuan Shakranta dan ibunya Puan Kembang Seri Wangi. Tidak kurang juga Mak Utih dan Mak Busu serta suami mereka masing-masing. Si Oja pula ... berlinangan air matanya setiap kali disebut namamu. Jelasnya, mereka semua begitu menyayangimu.”

“Ohhh, ya ka? Aku ... aku bertemu ... sahabat. Sahabat yang ... terlalu memerlukan bantuanku. Lalu ... aku terpaksa membantu mereka ... dan ... tidak dapat meninggalkan mereka sehingga ... sehingga masalah yang dihadapi mereka ... tidak lagi terlalu menyukarkan hidup mereka.”

“Kata kalangan pekerja istana ... Tuan Shakranta dan orang-orangnya menemui kau semula di tengah-tengah hutan ... ketika kau sedang bermain-main dengan ... dua ekor anak harimau.”

“Ya. Putera dan Puteri nama mereka. Merekalah sahabatku.”

“Wei lah! Kau ni, Isabelle. Hutan tu ... bukan ka tempat yang penuh bahaya? Penuh dengan bermacam binatang buas. Serta entah apa mambang dan jembalang. Macam mana pulak kau begitu berani merayau-rayau ke sana ... dan tinggal di sana seorang diri ... sampai hampir dua minggu? Hai, entahlah. Aku pun tak tahu apa nak kata.”

“Wati. Sebenarnya ... kita ni pun ... bukan ka berasal dari hutan semuanya? Kita cuma perlu belajar ... membiasakan semula diri kita dengannya. Aku tidak seorang diri, Wati. Aku bersama Putera dan Puteri. Zarpcy dan Mehrandokht juga turut menemaniku. Burung-burung itulah sebenarnya yang membantuku menangkap ikan yang ku berikan kepada Putera.”

“Pasangan burung rajawali peliharaan kau dan Ozalan itu?”

“Ya.”

“Habis ... kau tak apa-apa ka? Aku tengok muka engkaupun macam pucat aja.”

“Tak da, Wati. Aku tak apa-apa. Cuma ... aku kurang makan ketika di sana. Maklumlah ... di hutan tu ... tak sama macam di rumah. Begitupun ... aku mendapat ... sahabat yang istimewa. Sejak aku bersahabat dengan mereka, kini, setiap beberapa hari ... Putera dan Puteri pasti datang berkunjung ke pinggir hutan ... dekat kawasan tasik … tidak jauh dari sini ... dan mereka akan memanggilku ... supaya datang bertemu dengan mereka dan bermain-main dengan mereka.”


“Wei lah! Manjanya mereka. Boleh ka ... kau perkenalkan aku ... kepada Putera dan Puteri?”

“Kau tak takut ka? Gigi mereka besar tau. Dan taring mereka ... serta kuku mereka ... juga besar dan tajam benar.”

“Alamak! Ngerinya aku! Mereka tak gigit kau ka?”

“Putera dan Puteri pandai mengawal diri mereka. Gigi dan taring mereka ... hanya untuk menggigit musuh mereka ... atau mangsa mereka.”

“Habis tu ... macam mana kau mula-mula dapat berkawan dengan mereka?”

“Aku jumpa Putera dan Puteri ... dekat tepi hutan. Masa aku bawa Kshatriya dan Srikandhi bersiar-siar selepas memandikan mereka. Putera dan Puteri masih anak lagi. Macam baru belajar-belajar berburu sendiri. Tak tahu pulak apa dah jadi dengan ibu mereka. Kaki depan Putera sebelah kanan cedera parah ... akibat terjerat dengan jerangkap lingkaran batang rotan berduri.”

“Wei lah! Kesiannya. Habis?”

”Kakinya bengkak mencobong dan bernanah. Sampai dia tak boleh berpijak di tanah dengan kaki yang itu. Dia terbaring di tanah dengan muka yang moyot. Bila dia nampak aku ... dengan matanya yang kuyu dan suaranya yang lemah ... dia seperti merayu-rayu minta ditolong. Puteri pula ... dia seperti tidak sanggup berenggang dengan Putera.”

“Oja tak ada bersama kau masa tu?”

“Tidak. Dia tak ikut aku hari tu. Dia tinggal di rumah kerana kurang sihat.”

“Habis tu lagi?”

“Aku bawa Kshatriya dan Srikandhi balik ke kandang dulu ... kemudian aku pergilah semula ke tempat Putera untuk tengok kaki dia. Aku cabut lingkaran batang rotan berduri yang masih tertambat di kakinya dan mencucuk dagingnya.

“Dah tu ... kenapa pulak kau sampai tak balik ke rumah?”

“Aku tak dapat tinggalkan Putera ... nanti dia merayau-rayau entah ke mana-mana sebelum lukanya baik. Luka itu akan memburat kalau tidak dirawat segera, dan mungkin membahayakan nyawanya. Aku basuh luka bernanahnya tiap-tiap hari dengan air daun terajam yang aku ramas, sebagai pembersih luka dan penawar bisa. Dan aku sapu di tempat luka dengan air batang keladi candit, sebagai ubat penyembuh.”

“Oh. Baru aku faham.”

”Selepas tiga hari baru bengkaknya nampak surut serta lukanya mula sembuh dan nanahnya semakin berkurangan. Selama tempoh tu ... aku beri dia makan ikan yang ditangkap oleh Zarpcy dan Mehrandokht di tasik. Kerana dia tidak dapat berburu sendiri dengan kecederaannya itu.”

“Wei lah! Pandainya kau ni, Isabelle. Kau tahu ... orang-orang kampung kini menggelarmu ... Dewi Rimba. Kata mereka ... kau pasti memiliki ilmu sakti ... hinggakan mampu menjinakkan anak harimau.”

“Selama  tiga hari pertama tu .. Puteri kelihatan masih keberatan untuk meninggalkan Putera ... walaupun untuk pergi berburu seketika. Dia seperti meragui hasratku untuk membantu Putera ... seolah-olah dia bimbang bahawa ... aku mungkin mengapa-apakan Putera semasa ketiadaannya.”

“Wei, wei. Cerdiknya dia.”

”Begitupun, lama kelamaan dia beransur-ansur bertambah yakin denganku ... lalu dia mula keluar berburu seorang diri sekali sekala dan ... membawa balik sebahagian hasil buruannya ... untuk diberikan kepada Putera.”

“Wei lah! Bagusnya. Haiwanpun rupanya seperti manusia juga, ya kan? Pandai berkorban untuk menolong sahabat yang memerlukan.”

§
Seperti biasa, di waktu suria pagi bersinar menyondong dari arah timur, Isabelle membawa kedua kuda jagaannya, Kshatriya dan Srikandhi, ke tasik rimba di hilir jeram untuk dimandikan. Tempat itu terasa begitu damai baginya. Dengan bunyi berdesir air jeram yang turun mencurah tinggi dari lereng sebuah bukit. Diiringi kicauan unggas pelbagai jenis. Diseling pula sekali sekala dengan hilai tawa sang tupai dan sang siamang nun jauh di atas pepohon kayu menghijau nan tinggi menjulang. Gabungan semuanya itu menghasilkan suasana ceria sungguh membahagiakan. Untuk Isabelle sendiri mahupun Kshatriya dan Srikandhi.

Seperti selalunya, Ozalan ikut menemani Isabelle. Memandangkan usianya yang masih kanak-kanak dia belum diberikan sebarang tugas tetap. Sekadar ikut-ikut sahaja, supaya dia dapat memerhati dan belajar secara beransur-ansur. Disamping mengelakkannya daripada bersama merambu tak tentu hala dengan budak-budak kampung dari kawasan bersekitar. Selain menemani Isabelle semasa kerja-kerja mengendalikan kuda, kekadang dia juga diajak oleh Pak Utih atau Pak Busu, untuk mengikuti salah seorang daripada mereka, ataupun kedua-duanya sekali jika mereka melakukan kerja bersama.

§
Garung meninjau-ninjau ke arah sekitar tasik. Memerhatikan gelagat gerombolan kawan-kawannya seramai tiga belas orang itu. Kerana kerangka tubuhnya yang paling besar di kalangan mereka, dia dianggap sebagai ketua gerombolan oleh mereka.

“Wei!” dia berteriak memanggil kawan-kawannya. “Engkau orang tau tak ... di kawasan ini ... ada barang baik tau.”

“Wei, Garung,” balas Limbat, seorang daripada mereka. “Kau ni merepek aja lah. Mana ada barang baik sangat kat sini. Inikan di pinggir hutan? Yang pernah aku nampak seorang dua pun ... semuanya lebih kurang aja. Berambut kusut masai, mukanya tidak terjaga, kulitnya pula cemar berkarat-karat, penuh berkeladak dengan daki.”

“Kalau aku cakap ada tu ... adalah!” Garung mendengus. “Buat apa aku nak bohong. Ada untung ka, hah?”

“Wei, Garung,” Toman, seorang lagi anggota gerombolan, mencelah. “Mungkin kau ni ternampak jembalang hutan tak?”

“Hei, Toman. Aku nampak jelas dengan mata aku dua biji ni la. Tu, dekat jeram di sana tu. Aku baling batu dari jauh ke air tasik tempat dia memandikan dua ekor kudanya. Sambil bersembunyi di balik pokok besar. Dia menoleh meninjau-ninjau. Dua ekor kudanya pula ... nampak gayanya macam masih remaja ... tapi ... besar benar badannya. Hah! Jembalang ka kalau macam tu?”

“Habis tu, macam mana pulak rupanya?” Nipah mengusul. “ Cantik tak?”

“Wei lah!!! Kulitnya putih melepak, kemerah-merahan. Rambutnya kerinting berombak ... lebat dan panjang mengurai hingga ke pinggang ... berwarna perang kekuning-kuningan. Dan ... bila dia menoleh ke arahku ... aku nampak ...  matanya berwarna biru ... biru sebiru langit.”

“Heh???” balas Limbat dengan nada terperanjat. “Berkulit putih melepak ... berambut perang kekuningan ... panjang dan lebat ... dan bermata biru. Betul lah tu. Wei, Garung! Memang sah lah kau ni ... dah kena usik dek hantu pari.”

Semua kawan-kawan mereka yang lain tertawa berderai-derai kerana terlalu geli hati dengan kata-kata Limbat yang memperlekeh repek karut si Garung.

“Baiklah! Kalau begitu ... dema semua baliklah dulu. Biar aku saja yang tinggal seorang diri di sini. Kejap lagi ... datanglah dia. Biarlah aku seorang saja yang menikmati kecantikannya.”

“Kau ni betullah, Garung,” ujar Kaduk. “Dah miring dah, agaknya.”

“Tapi ... kalaulah sekiranya betul cakapnya tu ... alamat melepaslah pulak kita semuanya,” Galak menyampuk.

“Baiklah ... kalau macam tu ... kita ikut aja si Garung ni dulu,” cadang Kerian. “Kalau betul cakapnya ... dapatlah kita berpesta hari ni. Tapi kalau bohong ... kita kerjakan Garung beramai-ramai.”

“Bijak cakap kau tu, Kerian,” ujar Lampung. “Aku setuju”.

“Aku juga setuju,” Kandis menyokong.

“Akupun sama,” ujar Kutai.

§
“Jangaaan!!!” jerit Isabelle sambil meronta-ronta cuba melepaskan dirinya. “Toloonng!!! Jangan kacau aku!!! Pergiii!!! Toloonng!!!”

Budak-budak lelaki liar itu langsung tidak mempedulikan tempik pekik Isabelle. Malah mereka seperti semakin buas dan terangsang oleh segala jeritannya serta pergelutannya dengan mereka.

“Garung!!! Toman!!!,” Isabelle memekik. “Dema berdua sering mengakui dema sahabatku. Apa yang dah jadi dengan dema???”

“Kami ... kami memang sudah lama begitu tergoda dengan kecantikanmu, Isabelle,” jawab Garung. “Hari ini ... kami ingin ... menikmati ... tubuhmu itu.”

“Bapp,” terdengar bunyi batang kayu menghempap sesuatu. Hentakannya kena tepat di kepala Garung.

“Adui!!!” si Garung meraung kesakitan. “Bedebah!!! Siapa kau yang mencari penyakit ni???”

“Abang Garung jahat!!!” Ozalan bertempik nyaring. “Abang Limbatpun sama!!! Kenapa dema mengganggu Kakak Isabelle???”

“Dasar anak bangsat!” Garung menderam. “Nanti aku ajar kau!!!”

“Bangsat!!! Lepaskan dia!!!” terdengar teriakan lantang seorang gadis. “Hei, dema semua!!! Mengapa kamu mengganggu Isabelle???”

Delima Wati rupanya. Muncul tak semena-mena entah dari mana halanya. Dia menerpa kearah mereka. Mencapai sebatang pelepah kelapa kering yang ditemuinya berhampiran.

“Paapp!” sebatang pelepah kelapa kering pula menyinggahi muka Limbat, kena tepat di dahinya.

“Adui!!!” si Limbat pula menjerit. “Siapa kau??? Kurang ajar!!! Mengapa kau mengganggu hal aku???”

“Aku sahabat Isabelle,” Delima Wati berdiri bercekak pinggang dan menjergil bengis. “Aku kenal orang tua dema semua. Mereka semua mengambil upah mengerjakan sawah dan ladang keluarga Dharmakusuma.”

“Hei, Wati,” Garung mendengus. “Kau pun nak juga ka? Kau tunggu aja. Nanti aku kerjakan kau sekali.”

“Akan aku laporkan buruk perangai dema semua kepada orang tua dema,” Delima Wati berdegil. “Dan juga kepada Tuan Shakranta serta Puan Kembang Seri Wangi. Kalau Ayah dan Abang aku ada di sini, habis dema digodam mereka.”

Garung dan Limbat bingkas bangun dan menyerang Ozalan. Toman juga turut meluru ke arah Ozalan dan menyertai kawan-kawannya. Mereka bertiga menampar, menumbuk, menendang, menyiku dan melutut Ozalan. Menggodamnya bertubi-tubi.

Mulanya Ozalan cuba menepis, menangkis dan menyerang balas. Namun, apakan dayanya. Kudrat yang ada pada tubuhnya, yang masih berumur sembilan tahun, tidak mungkin sepadan dengan kekuatan tiga orang budak lelaki remaja yang tujuh lapan tahun lebih tua daripadanya. Ozalan semakin lama semakin lemah. Lesu dan layu. Akhirnya dia rebah tersungkur ke tanah. Terus tidak bergerak lagi. Tubuhnya kini kaku sekaku-kakunya.

“Garung!!!” Toman tiba-tiba bersuara dengan nada terperanjat. “Apa yang sudah jadi dengan budak ini??? Dia tidak bergerak-geri lagi.”

“Aaah!” Garung membentak. “Pedulikan dia. Padan muka dia. Biar dia mampus!”

“Tapi Garung,” Limbat merungut. “Dia budak suruhan peliharaan Tuan Shakranta. Teruk padahnya kita nanti.”

“Kalau begitu, kita heret saja dia ke dalam hutan,” ujar Toman. “Kita campak dia di sana. Biar dibaham binatang buas.”

“Itu cadangan yang bijak,” ujar Garung. “Biar hapus segala buktinya nanti. Mari kita pergi!”

“Mari!” Limbat mengulang ajakan.

Mereka bertiga mengheret tubuh Ozalan lebih jauh ke dalam hutan. Tiba-tiba ...

Sepasang harimau remaja dengan tak semena-mena menjelma di hadapan mereka ... menghalang laluan mereka. Tanpa berlengah-lengah lagi mereka mencampakkan Ozalan ke tanah dan terus lari bertempiaran meninggalkan tempat itu.

Seekor daripada harimau itu menghampiri tubuh Ozalan yang terbaring kaku di bumi. Ia menghidu-hidu tubuh Ozalan. Kemudian menjilat-jilat pipinya ... mulutnya ... hidungnya ... matanya ... seluruh mukanya.

§
Garung, Limbat dan Toman segera kembali semula ke tempat kawan-kawan mereka yang masih sedang menyerang Isabelle dan Delima Wati. Limbat terus menghampiri Delima Wati.

“Kurang ajar!!! Nanti kau akan merasa penanganku. Nanti baru kau tahu siapa aku. Wei, kawan-kawan!!! Tengok ni. Sekarang kita dapat bukan satu saja barang baik, tetapi dua. Nampaknya hari ini kita bakal berpesta besar."

“Oiiii!!! Oiiii!!! Oiiii!!!” tempik sorak dan hilai tawa budak-budak lelaki itu semakin bertambah galak dan rancak.
Limbat tiba-tiba menerkam Delima Wati. Beberapa orang daripada kawan-kawan mereka yang lain ikut menerkam sama.

“Wei!!! Binatang!!! Lepaskan aku! Jangan! Tolooonnggg!!!” kini Delima Wati pula yang terpekik terlolong.

§
Isabelle kini kecoh sekecoh-kecohnya. Baju dan seluarnya sudah habis koyak rabak ditarik dan diragut oleh budah-budak lelaki liar itu. Dalam kekalutan itu dia tidak dapat berfikir dengan betul lagi. Dalam penuh cemas dia meninjau ke setiap arah di sekelilingnya ... lalu ternampak Kshatriya dan Srikandhi nun jauh di sana sedang meragut-ragut berhampiran sebuah pokok besar. Isabelle mendapat suatu akal ... mungkin kedua kuda itu boleh membantu dirinya serta Delima Wati...

“Fiuuuwww!!!” Isabelle bersiul selantang-lantangnya, memanggil Kshatriya dan Srikandhi. Kedua kuda itu dengan serta merta tegak tercacak telinganya dan mengangkat kepala masing-masing dan meninjau ke arah kawasan sekitar.

“Fiuuuwww!!! Fiuuuwww!!!” Isabelle bersiul lagi. Semakin diulang semakin kuat bunyi siulannya. Kshatriya dan Srikandhi ternampak Isabelle yang sedang meronta-ronta. Lantas kedua-duanya segera berlari ke arahnya. Srikandhi yang sampai terlebih dahulu.

Tanpa diajumkan lagi Srikandhi terus merempuh budak-budak nakal yang sedang mengganggu Isabelle tadi. Kuda remaja itu seperti memahami dengan caranya tersendiri bahawa budak-budak itu berniat buruk terhadap Isabelle, yang dianggapnya sebagai sahabatnya. Maka mereka harus dihalang.

Lima orang daripada mereka terpelanting ke pelbagai hala. Diterajang, diterjah, ditendang oleh Srikandhi. Mereka mengerang-ngerang kesakitan. Kawan-kawan mereka yang lain ada yang digigit oleh Srikandhi yang naik berang, ataupun dihempapnya dengan kakinya. Ada yang menjerit melolong kerana kesakitan apabila digigit oleh kuda itu dengan giginya yang begitu besar.

Dalam kekecohan itu Isabelle dan Delima Wati mengambil kesempatan untuk bergolek berguling meloloskan diri masing-masing daripada budak-budak lelaki liar itu. Sambil mengelak daripada terhempap oleh kaki Srikandhi yang sedang mengamuk itu.

Srikandhi seterusnya mengangkat kedua-dua kaki hadapannya lalu menendang dan menerajang enam orang lagi budak lelaki yang menyerang Isabelle dan Delima Wati tadi. Keenam mereka berterabur lintang-pukang cuba mengelakkan diri daripada terjahan seterusnya oleh Srikandhi. Namun kuda itu terlalu pantas bagi mereka. Nasib mereka sama seperti kawan-kawan mereka sebelumnya. Kaki dan tangan mereka sama ada terseliuh atau terkehel. Malah ada yang retak atau patah tulangnya, atau beralih kepala lutut atau buku lalinya, bahana gempuran kuda besar itu.

Dalam pada itu, Kshatriya pula menghampiri Isabelle yang masih terbaring di tanah termengah-mengah. Seolah-olah mengajum Isabelle supaya terus melompat naik ke atas belakangnya lalu menonggangnya untuk melarikan diri. Namun, Isabelle yang merasakan keadaan kini sudah agak selamat baginya hanya bangun perlahan-lahan. Lalu menepuk-nepuk serta menggosok-gosok belakang Kshatriya, seterusnya mengucup-ngucup muka dan tengkuknya. Tanda mengalu-alukan bantuannya.

Isabelle lalu memberi isyarat kepada Srikandhi untuk menghentikan serangannya ke atas budak-budak itu seketika. Sambil terus mengerang kesakitan, kesemua mereka terduduk atau terbaring bergelimpangan dalam keadaan tercungap-cungap. Sedang mereka menunggu nafas mereka yang berhembus kencang reda kembali sebelum beredar, tiba-tiba ...

Sepasang harimau muda yang amat bengis rupanya menjelma dengan tak semena-mena di hadapan mereka ... tepat merintangi jalan yang bakal mereka lalui. Kedua haiwan itu mendekam rapat ke tanah ... tubuh masing-masing erat memeluk bumi … seperti bersiap sedia … menanti masa yang tepat untuk melompat menghambur mangsa.

“Kur semangat!!!” seorang daripada kumpulan budak lelaki itu mengeluh dengan nada amat perlahan hampir seperti berbisik. Limbat rupanya. Wajahnya pucat lesi.

Di belakang dua harimau remaja itu ... muncul kelibat seorang budak lelaki. Mukanya kelihatan habis lebam di sana sini. Bibirnya bengkak mencobong. Sebelah matanya benjol hingga hampir tertutup rapat. Namun dia tetap berdiri tegak ... bercekak pinggang dengan megah semegah-megahnya ...

“Oja!” Isabelle tiba-tiba bertempik lantang, wajahnya serta suaranya seperti teruja bercampur lega.

Rupa-rupanya Ozalan hanya pengsan seketika. Dia sedar semula hasil jilatan Puteri yang tidak henti-henti dan begitu menyegarkan di mukanya. Lantas segera kembali ke tempat pergelutan. Membawa Putera dan Puteri bersamanya.

“Putera!!! Puteri!!!” Isabelle menderam lantang. Dia seakan merasai tenaga baru mengalir semula di dalam tubuhnya. “Tunggu!!!”

Kedua harimau itu tiba-tiba tegak tercacak telinganya. Mereka menoleh ke arah Isabelle, seterusnya perlahan-lahan berubah gaya kedudukan mereka. Seperti tidak jadi hendak menerkam lagi. Mata mereka yang tadi kelihatan bengkeng berpinar-pinar kini hanya berkedip-kedip lembut memerhatikan Isabelle. Gelagat mereka tiba-tiba berubah menjadi seperti kucing manja yang baru bertemu tuannya. Jelasnya, mereka seperti amat memahami serta menghormati kehendak dan arahan Isabelle.

Budak-budak liar itu tercengang kehairanan bercampur ngeri melihat telatah Isabelle dan Ozalan dengan kedua harimau remaja itu. Gadis aneh itu seolah-olah memiliki sesuatu ilmu ajaib yang membolehkannya bertutur dengan haiwan liar dan membuat mereka bertindak mengikut kemahuannya. Sementara budak lelaki yang sentiasa menemaninya itu seperti tidak takut langsung dengan dua ekor harimau yang berada begitu hampir dengannya.

Baru sebentar tadi gadis itu memanggil sepasang anak kuda gergasi untuk menyelamatkan dirinya daripada serangan mereka. Kini, entah bagaimana, dia dapat meredakan keinginan buas sepasang anak harimau yang kelihatan begitu bengis daripada membaham mereka. Mungkinkah dia benar-benar puteri kepada seorang dewi rimba? Seperti yang dikatakan oleh segelintir penduduk kampung? Mereka masing-masing tertanya-tanya kepada kalangan mereka sendiri.

§
“Ha ... hamba ... kami ... harus memohon maaf kepada saudari ... serta kawan-kawan saudari,” Toman bersuara dengan nada yang malu alah dan matanya terkebil-kebil memandang Isabelle. Daripada raut wajahnya dia kelihatan seperti yang tertua di kalangan mereka. “Maafkanlah kami semua. Kami terlanjur ... kami terpacu oleh … hawa nafsu muda remaja.”

“Itu saja???” tengking Isabelle lantang. “Baru sebentar tadi dema semua bertindak lebih buas daripada haiwan hutan. Mudahnya dema bertukar warna. Tidak ubah seperti seekor mengkarung. Teruk benar perangai dema. Sungguh memalukan!"

"Maafkan kami ... kami tersilap."

"Habis bagaimanakah aku boleh pasti dema semua tidak akan mengulangi perbuatan buas kalian di hari lain? Kalaupun tidak kepada aku dan sahabatku ini ... mungkin kepada seorang gadis malang yang lain. Ini ... lihat ini ... seluruh pakaianku habis koyak rabak oleh perbuatan ganas dema semua. Pastinya ... ini bukan kali pertama dema semua berkelakuan begini. Entah berapa ramai agaknya bilangan gadis tidak berdosa yang telah menjadi mangsa dema semua selama ini.”

Budak-budak lelaki itu menundukkan kepala masing-masing. Mata mereka semuanya merenung bumi. Tidak tahu apa lagi yang nak dikata.

“Hamba ... kami ... bersumpah tidak akan mengganggu saudari lagi,” Garung tiba-tiba bersuara.

“Kami menyesali perbuatan kami ... dan kami insaf,” ujar Limbat menyokong rakannya.

“Dema semua bernasib baik kerana hanya Srikandhi yang menggempur kalian,” ujar Isabelle sambil menunjuk ke arah kuda itu. “Kalaulah Kshatriya ini yang melakukannya, mungkin beberapa orang daripada kalian sudah melayang nyawanya. Kerana dia jauh lebih bengis dan lebih perkasa daripada Srikandhi.”

“Isabelle,” Delima Wati bersuara. “Kita harus melaporkan perkara ini kepada orang tua mereka semua. Juga Tuan Shakranta serta Puan Kembang Seri Wangi. Perbuatan mereka tidak boleh dimaafkan begitu saja. Perbuatan mereka sebelum ini ke atas gadis-gadis lain patut disiasat. Dan mereka patut dihukum. Agar ia menjadi pengajaran kepada seluruh kampung ini dan kawasan bersekitar dengannya.”

“Baiklah, Wati,” jawab Isabelle. “Hamba setuju. Itulah tindakan yang setepatnya. Kita akan lakukan itu. Ambil nama semua mereka dan laporkan seberapa segera.”

“Dan kepada dema semua,” ujar Isabelle lagi sambil menoleh semula merenung kumpulan budak lelaki itu dengan bengisnya. “Hamba beri amaran terakhir. Andainya salah seorang daripada dema mengganggu hamba ... atau Delima Wati sahabat hamba ini ... ataupun mana-mana gadis lain di sekitar wilayah ini ... di lain hari ... orang itu akan hamba buru bersama sahabat-sahabat hamba ini ... Kshatriya dan Srikandhi ... serta Putera dan Puteri. Maka akan tahulah dia apa padahnya nanti. Sekarang .. kalian semua ... boleh pergi dari sini! Pergi!!!”

“Hah!!!” tambah Delima Wati. “Padan muka dema semua! Tunggu apa lagi? Orang dah halau! Pergilah! Muka tak malu!”

§        §        §
Dua tahu berlalu ...
“Fiuuuw,” Ozalan bersiul nyaring, memanggil Zarpcy dan Mehrandokht, pasangan burung rajawali yang kini semakin giat dilatihnya sebagai unggas pemburu. Kedua burung itu semakin hari semakin tangkas dan bijak membuat buruan. Selain menjadi pemburu hebat bagi Ozalan dan Isabelle, haiwan itu juga menjadi teman baik mereka berdua ketika mereka sekali sekala menjelajah kawasan belukar di belakang Mahligai Dharmakusuma.

Kecekapan semula jadi dua haiwan itu yang tiada tandingnya sebagai haiwan pemburu sering kali membantu Isabelle dan Ozalan menangkap pelbagai haiwan buruan yang mereka bawa balik untuk dinikmati dagingnya oleh seisi rumah Mahligai Dharmakusuma. Seperti ayam hutan, burung kuang, aanak pelanduk dan sebagainya.

Suatu hari, Ozalan ternampak seekor anak kijang jantan, semasa dia bersama Isabelle menonggang kuda padi mereka di kawasan pinggir hutan. Haiwan itu kelihatan seperti terlalu besar dan terlalu pantas untuk mereka berdua menaruh sebarang harapan untuk menangkapnya. Begitupun, Ozalan yang sentiasa bercita-cita besar itu menganggap ia suatu cabaran hebat yang seharusnya diduga. Dia menggosok-gosok dan membelai-belai belakang, tengkuk dan muka Zarpcy, menggalak semangatnya, mengghairah naluri pemburunya.

Sebaik anak kijang itu bergerak sekali lagi, Zarpcy pantas melayang tinggi ke udara, kemudian terbang menjunam semula ke bawah, memecut mengejar mangsanya. Anak kijang itu meluru melarikan diri seperti kilat pantasnya, sambil bertempik ketakutan. Bunyi tempiknya mirip salak serigala remaja. Namun kini, nampaknya seperti bertemu buku dengan ruas. Haiwan itu berlari lintang pukang ke sana sini. Mendaki bukit, menuruninya kembali, meredah bukau, mendaki semula, menuruni lagi dan meredah kembali, tiada hentinya. Apapun, Zarpcy tetap menyusulinya walau ke mana anak kijang itu menghala. Mehrandokht pula ikut terbang mengiringi.

Apabila anak kijang itu mula lemah kerana keletihan, Zarpcy membuat serangan penyudah. Seperti detik itu memang sekian lama dinanti-nantinya. Ia melayang tinggi seketika, kemudian menjunam menyewah ke arah kijang itu dari arah belakang, lalu hinggap mencengkam erat dengan kukunya tepat pada kepala kijang itu. Sebaik sahaja itu berlaku, Zarpcy mengembangkan kepaknya, duduk menenggek dan melabuhkan kepaknya ke bawah. Bulu sayapnya lalu melitupi pandangan anak kijang itu sepenuhnya di kedua sisi.

Kerana kehilangan penglihatannya secara begitu mendadak, anak kijang itu terus tergamam dan menjadi bingung sepenuhnya. Dunianya tiba-tiba menjadi gelap. Ia berhenti berlari dengan serta merta. Ozalan segera menonggang ke arah anak kijang itu lalu menambat tali dengan kukuh di sekeliling tengkuk, bahu, dada dan kaki hadapan anak kijang itu. Hujung tali itu yang satu lagi kemudian diikatnya pada kuda padinya. Supaya anak kijang itu tidak dapat melepaskan dirinya lagi.

Isabelle sendiripun tercengang dengan kejadian itu. Dia sendiri pernah diajar melatih unggas pemburu semasa kecil oleh bapanya. Tetapi dia tidak pernah melihat seekor unggas pemburu membantu seseorang menangkap seekor haiwan sebesar itu dengan begitu mudah. Namun, hari itu, memang itulah yang berlaku di depan matanya.

Anak kijang jantan itu dibawa balik oleh Ozalan dan Isabelle lalu dihadiahkan kepada Puan Kembang Seri Wangi.

Selang beberapa lama selepas itu, Ozalan dan Isabelle bertemu pula dengan seekor anak kijang betina. Maka perkara serupa berulang semula, sementelah Zarpcy dan Mehrandokht kini bertambah yakin diri. Dihadiahkan juga oleh Ozalan dan Isabelle anak kijang betina itu kepada Kembang Seri Wangi. Membuatnya begitu gembira kerana kini memiliki sepasang anak kijang sebagai haiwan kesayangan.

No comments:

Post a Comment