Thursday, December 2, 2010

Bab 12: Cinta Bersanjung Kasih Berjunjung


Kembang Seri Wangi duduk bersimpuh di serambi Mahligai Dharmakusuma, menghisap rokok daun selepas menikmat sarapan pagi nasi kerabu hidangan Mak Utih. Anaknya kelihatan baru sahaja keluar dari kamarnya.

“Tata,” Kembang Seri Wangi menghembus asap rokok ke udara.

“Ya, Mak,” Shakranta bergerak menghampiri ibunya. “Ada apa, Mak?”

“Kau tidak keluar menonggang hari ini?”

“Tidak, Mak. Pagi tadi, Isabelle dan Ozalan membawa Kshatriya dan Srikandhi ke anak sungai untuk dimandikan. Selepas itu, mereka membawa kuda-kuda itu ke ladang untuk bersantai dan meragut, sambil berjemur mengeringkan badan dan menikmati sinar matahari. Di sebelah petang pula mereka akan ke dusun untuk memetik buah-buahan bermusim. Jangkanya, mereka akan berada di sana sepanjang petang. Biarlah kuda-kuda itupun dapat berkenduri buah-buahan hari ini.”

“Ohhh,” balas Kembang Seri Wangi. “Baguslah tu. Boleh Mak berbicara dengan kau sikit?”

“Tentulah boleh. Ala, Mak ni. Pasal apa tu, Mak?”

“Tak da. Pasal si Isabelle tu.”

“Kenapa dengan dia, Mak?”

“Kau ada apa-apa masalah dengan dia tak?”

“Tak da, Mak. Isabelle pekerja yang rajin dan kuat bekerja. Dia tidak pernah memberi sebarang masalah. Barang apapun yang disuruh, pasti akan dilaksanakannya dengan sempurna.”

“Bagaimana pula dengan si Ozalan?

“Ozalanpun begitu juga. Mereka berdua seperti dua beradik yang hampir sama sikapnya dalam hal bekerja. Dan, Tata kira, Ozalan kini sudah boleh mengambil alih tugas-tugas Isabelle dalam menjaga kuda secara sepenuhnya jika perlu.

“Eloklah tu. Mak tengok pun begitu juga.”

“Isabelle tu, berapa umurnya sekarang?”

“Kalau tak silap Tata, dia sudah berada di sini lebih lima tahun. Bermakna umurnya kini … kira-kira ... tujuh belas tahun, Mak. Kenapa, Mak?”

“Bukannya apa. Mak tengok, dia tu dah besar. Dah jadi anak dara. Bukannya budak-budak lagi. Mak rasa, dah tak sesuai lagi dia ditugaskan membuat kerja-kerja kasar di ladang dan sebagainya yang lebih sesuai dilakukan oleh budak lelaki. Tak manis dipandang, kata orang. Lagipun, kita kan dah lama memerdekakannya.”

“Maksud Mak?”

“Apa kata, kalau kita berikan Isabelle tugasan lain yang lebih sesuai? Misalnya, kita boleh minta dia membantu Mak Utih dan Mak Uda dalam menjalankan kerja-kerja harian mereka. Di samping melakukan tugas-tugas lain yang sewajarnya di dalam dan di sekitar rumah kita.”

“Tata rasa, itu tidak menjadi masalah, Mak. Isabelle pasti boleh melakukan semua itu dengan baik. Lagipun, dia juga memang serasi dengan Mak Utih dan Mak Uda sejak dari dulu lagi.”

“Mak juga tidak mahu peristiwa buruk di pinggir tasik seperti dulu berulang lagi kepada Isabelle. Kau tahulah kan ... dia tu ... cantik sangat. Dan budak-budak kampung di sekitar wilayah ini ... sesetengah daripada mereka terlalu liar ... dan bila mereka dah mula merambu ke sana sini beramai-ramai ... pantang terpandang gadis remaja yang berada sendirian jauh sedikit daripada tempat tinggalnya. Nasib baik kuda-kuda kau yang dijaganya itu datang menyelamatkannya ketika itu.”

“Memang betul cakap Mak tu. Tata setuju.”

“Kalau begitu, baiklah. Biar Mak maklumkan kepada Mak Uda dan Mak Utih dulu tentang perkara ini.”

§        §        §
Masa bergerak begitu pantas. Setahun lebih berlalu, terasa seperti baru sebulan. Isabelle kini hampir mencecah sembilan belas tahun usianya. Bertubuh tinggi lampai, bekerangka besar, mewarisi susuk badan bapanya. Sungguhpun tidak lagi ditugaskan menjaga kuda, Isabelle masih memantau dari jauh kerja-kerja itu yang kini dilakukan sepenuhnya oleh Ozalan. Sentiasa dia menurunkan segala ilmu yang ada padanya berhubung selok belok hal ehwal penjagaan kuda kepada anak muda itu.

“Isabelle, Ozalan,” Shakranta menghembus asap rokok daunnya ke udara, duduk bersandar di serambi Mahligai Dharmakusuma, sambil memerhatikan Ozalan yang sedang menggosok-gosok Kshatriya, kuda tuannya. “Mari ke sini.”

“Ya, Tuan,” Isabelle dan Ozalan menjawab serentak.

“Hari ini Kita hendak merayau-rayau di pinggir rimba. Sudah agak lama Kita tidak kesana. Kita sekadar seorang diri, menonggang Kshatriya. Kamu berdua bawalah Srikandhi ke dusun selepas selesai memandikannya.”

“Baik, Tuan.”

Isabelle merasa agak kehairanan mengapa tuannya ingin ke hutan bersendirian tanpa walau seorang teman. Terlalu berbahaya keadaannya begitu, terutamanya bagi seorang putera dan pewaris wangsa, fikirnya. Sekurang-kurangnya sama ada Pak Utih atau Pak Uda harus menemaninya. Namun arahannya perlu diikut, kerana dia adalah tuan mereka.

Isabelle dan Ozalan sekadar memerhati dari jauh Shakranta yang memacu Kshatriya menderap santai kearah pinggir rimba. Setelah Shakranta maju kira-kira tujuh puluh depa ke hadapan, Isabelle mengajak Ozalan menyusuli tuan mereka secara sembunyi-sembunyi dari jauh. Isabelle menonggang Srikandhi, manakala Ozalan cuma berjalan kaki.

Mereka membawa bersama mereka Santri, serigala jantan muda yang mereka pelihara sejak kecil, untuk membantu mereka mengesan jejak Shakranta walau ke arah mana dia merayau. Tidak ketinggalan, mereka juga membawa bersama mereka pasangan unggas pemburu peliharaan mereka, Zarpcy dan Mehrandokht, berserta empat ekor anak burung-burung itu yang kini telah cukup besar. Manalah tahu kalau-kalau unggas-unggas itu diperlukan bantuannya.

Laluan yang diambil Shakranta mulanya tidak menentu. Sekejap kekiri, sekejap kekanan. Sekejap ke hadapan, sekejap berpatah balik. Kala lain pula dia berpusing-pusing mundar-mandir ke sana sini entah ke mana arahnya. Namun, seperti dijangka oleh Isabelle, dia beransur-ansur menghala ke kawasan yang agak jauh dari pinggir hutan, kesudahannya menuju ke sebatang pokok tembesu besar yang padanya masih ada sebuah rumah atas pokok yang dibina oleh Putera Adhi Vira, mendiang nendanya. Tempat dia sering dibawa oleh nendanya itu untuk bermain-main semasa kecil, sambil belajar berburu, di temani oleh dua bapa saudara angkatnya, Nibung Ulung dan Pinang Jingga.

Sesampainya Shakranta ke sekitar pokok tembesu itu, dia melompat turun dari belakang Kshatriya dan membiarkan kudanya itu berlegar-legar berhampiran. Manakala dia sendiri meninjau-ninjau di kawasan berdekatan. Isabelle dan Ozalan terus memerhati tuan mereka, kini dari jarak kira-kira empat puluh depa, sambil terus bersembunyi diri di sebalik rimbunan semak yang tebal.

Keadaannya agak sunyi, selain daripada deringan riang-riang yang kedengaran sekali sekala. Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi berkebas sayap burung-burung kecil. Isabelle dan Ozalan segera mengalihkan pandangan mereka ke arah bunyi itu.

Beberapa ekor burung kelihatan terbang ke udara secara tiba-tiba dari arah serimbun pokok renek. Isabelle segera mengenakan panah pada busar gabung yang sentiasa dibawanya, lantas mengangguk kepada Ozalan, tanda memberi isyarat kepadanya supaya melakukan perkara yang sama.

Sebatang lembing besar melayang ke udara dari sekitar tempat burung-burung tadi terbang tiba-tiba. Segera diikuti oleh sebatang lagi dari kawasan bersebelahannya. Kedua-duanya menghala tepat ke arah Shakranta.

“Tuan!!! Awas!!!” Isabelle bertempik lantang selantang-lantangnya. “Lembing dari belakang!!!”

Manakala Ozalan pula bersiap sedia untuk memberi isyarat kepada Santri dan keenam burung rajawali mereka untuk menggempur penyerang hendap yang masih bersembunyi di sebalik pokok semak.

Shakranta rupanya sedang mendongak memerhatikan dengan asyiknya sekawan burung ketitir di dahan tinggi yang sedang berlawan berkokok di antara mereka. Mendengar tempik Isabelle, dia melompat sepantas kilat ke kiri, ke arah sebatang pokok bemban besar, lantas berguling di tanah, seterusnya berlindung diri di belakang pokok itu, sambil menyiapkan busar panjangnya untuk memanah. Dua batang lembing menjunam jatuh menikam bumi, terpacak tepat di tempat dia berdiri sebentar tadi.

Sebaik sahaja Isabelle bertempik, Zarpcy dan Mehrandokht serta keempat-empat anaknya terbang melayang tinggi ke udara, seterusnya terbang turun semula menjunam kencang ke arah pokok renek tadi. Manakala Santri pula memecut pantas ke tempat yang sama.

Keenam unggas pemburu itu lalu menyerbu dua daripada tiga orang penyerang hendap tadi, mematuk-matuk, merembat serta mencakar-cakar muka, leher dan dada mereka dengan ganasnya, membuat kedua orang itu habis kelam kabut dan bercelaru. Santri pula melompat menerkam penyerang hendap yang seorang lagi, membuatnya terjatuh ke belakang dalam terkial-kial dan terkapai-kapai mengelak lehernya daripada dibaham oleh serigala jantan muda itu.

Sebaik sahaja seorang daripada pelembing tadi bergegas keluar dari kawasan pokok semak itu lantas menampakkan dirinya, Isabelle memanggil balik burung-burung pemburu itu, seterusnya melepaskan panah pertamanya ke arah orang itu, sambil memacu Srikandhi dengan geselan kakinya meligas seterusnya merejang pantas menuju ke tempat itu. Panah keduanya menyusul sebelum panah pertama sampai ke sasarannya. Kedengaran suara seorang lelaki meraung kesakitan. Panah ketiganya menamatkan raungan orang itu.

Panah kedua Ozalan mengakhiri riwayat pelontar lembing yang kedua. Raungannya kedengaran hanya beberapa detik sahaja, suaranya tersekat-sekat seperti seorang yang tiba-tiba sukar bernafas, kemudian kedengaran mendayu-dayu seketika, sebelum terus senyap sepenuhnya dengan mendadak.

Penyerang hendap ketiga sempat bangun semula, entah bagaimana dia dapat melepaskan dirinya daripada terkaman Santri yang bertubi-tubi, lantas mengorak langkah seribu dan lari memecut sederas angin taufan untuk meninggalkan tempat itu. Namun sebatang panah besar melancar dari busar panjang Shakranta … meluncur di udara … mencari, menemui dan menusuk sasarannya. Tubuh orang itu terhunjam pada belakangnya … lalu kepala panah tembus keluar semula dari dadanya. Dia meraung seketika … lantas rebah tersungkur menyembah bumi.

Isabelle memberi isyarat kepada Santri. Serigala muda itu segera kembali ke tempat asal penyerang-penyerang hendap tadi untuk memeriksa keadaan.

Sejurus kemudian haiwan itu keluar semula dari rimbunan semak itu dengan megahnya, melihat ke arah Isabelle sambil mengangkat kaki hadapan sebelah kanannya dan menyalak tiga kali, tanda tempat itu kini selamat untuk dihampiri.

Pelembing pertama terkena dua panahan oleh Isabelle, satu di dada dan satu lagi diperutnya. Pelembing kedua tertusuk tepat pada lehernya oleh panah kedua Ozalan.

Setelah diberi isyarat oleh Isabelle bahawa keadaan kini selamat kembali, Shakranta muncul semula dari belakang pokok tempat dia berlindung, busar panjangnya masih dalam keadaan siap sedia untuk memanah. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya, seperti masih tidak percaya dengan apa yang baru sahaja berlaku. Belum terjawab lagi soalan yang kini berlegar di kepalanya. Siapakah agaknya gerangan orang yang membencinya sebegitu rupa hingga mahu menghapuskannya?

“Isabelle, Ozalan,” akhirnya Shakranta mendapat suaranya kembali. “Kamu berdua menyabung nyawa demi menyelamatkan diri Kita hari ini. Kini Kita pula yang terhutang nyawa kepada kamu berdua. Terima kasih berjuta Kita ucapkan.”

“Kami sekadar menjalankan kewajipan kami, Tuan,” balas Isabelle. “Lagipun, Tuan juga pernah menyelamatkan nyawa hamba dulu. Bukan sekali … tetapi dua.”

“Dan nyawa hamba juga, Tuan,” Ozalan menambah.

“Kamu berdua masing-masing membunuh seseorang hari ini. Kamu tidak berasa gementar?”

“Kami tiada pilihan lain, Tuan,” jawab Isabelle. “Kami terpaksa melakukannya. Kalau tidak, mereka mungkin mencederakan Tuan.”

“Kami menganggap mereka sebagai haiwan liar dan ganas yang cuma patut diburu dan dibunuh, Tuan,” tambah Ozalan.

“Kamu berdua bertindak pantas dalam keadaan yang genting. Kamu sungguh berani … bagi usia kamu yang masih muda. Kamu berbakat untuk menjadi pahlawan hebat.”

“Burung-burung rajawali kamu berdua itu … Zarpcy dan Mehrandokht serta anak-anak mereka … untuk kesekian kalinya Kita takjub dengan kehebatan mereka,” ujar Shakranta. “Dan juga serigala kamu itu … Santri … dia pun tidak kurang hebatnya. Mereka semua melaksanakan tugas mereka yang amat berbahaya dengan begitu baik.”

Zarpcy dan Mehrandokht berserta keempat-empat anaknya menciut nyaring sambil mencakar-cakar kuku mereka di dahan pokok serta berkebas-kebas sayap mereka, lantas melayang-layang rendah berkimbang-kimbang di udara. Manakala Santri pula ekornya bergoncang galak menjongket-jongket apabila namanya disebut. Seperti kesemua haiwan itu gembira dan dapat memahami bahawa sumbangan mereka masing-masing memang amat dihargai.

“Memang sudah sewajarnya begitu, Tuan,” ujar Isabelle. “ Kerana mereka sudah terlatih sejak kecil-kecil lagi.”

“Lalu apakah yang membuat kamu berdua mengekoriku ke rimba?”

“Kami terserempak dengan tiga orang yang tidak pernah kami lihat sebelum ini di kawasan pasar, baru semalam, Tuan” jawab Isabelle. “Semasa kami menemani Mak Utih dan Mak Uda untuk membeli barang-barang keperluan dapur. Ketiga mereka itu kelihatan berkelakuan aneh, dan seperti mempunyai rancangan sulit. Dua daripada mereka bertutur dengan pelat Palembang, yang seorang lagi pula kedengarannya seperti orang Kedah Negara.”

“Lalu kami merasakan bahawa kami harus menyusuli Tuan,” Ozalan menyambung. “Untuk memastikan bahawa … tiada sebarang ancaman berbahaya yang timbul terhadap diri Tuan … semasa berada di rimba seorang diri.”

“Kamu berdua membuat keputusan yang bijaksana. Bagus.”

Maka demikianlah, dengan peristiwa terbaru ini, hubungan di antara Shakranta, Isabelle dan Ozalan yang sememangnya sudah kukuh teguh selama ini, kini bertambah padu lagi.

§
Isabelle sentiasa berasa sejahtera setiap kali Shakranta ada berhampiran. Orangnya begitu tenteram, tidak gemar membuat orang lain berasa cuak atau serba salah dengan kehadirannya, dan lebih suka kalau mereka selesa. Kenangan manis di kota Konstantinople, ketika Shakranta bersama dua orang sahabatnya datang menyelamatkannya daripada sekumpulan bajingan Frank, masih membuatnya begitu ceria bahagia. Begitu juga detik-detik tatkala Shakranta menyelamatkan Ozalan dan dirinya sendiri daripada mati lemas di laut di Teluk Parsi.

Tanpa disangka, hari ini dirinya dan Ozalan pula yang berkesempatan untuk membela Shakranta. Kitaran hidup manusia begitu menarik, penuh berkeluk liku dan bersimpang-siur, dia mengelamun. Dari sudut matanya dia ternampak Ozalan yang dalam diam-diam sedang merenung wajahnya.

“Oja, mengapa kau memerhatiku begitu?”

“Kakak suka sama Tuan Shakranta, kan?”

“Mestilah … dia kan tuan kita … dan dia baik hati orangnya.”

“Maksud Oja …”

“Maksudmu apa?”

“Tak mengapalah. Ummm … mengapa agaknya … Tuan Shakranta kita tu … belum berumah tangga lagi? Oja rasa, dia memerlukan seorang pendamping yang sesuai dalam hidupnya.”

“Entahlah. Pasti dia mempunyai sebab-sebabnya yang tersendiri.”

“Kakak cubalah bertanya kepada dia … ketika dia berangin baik bila-bila.”

“Ahhh, kau ni Oja, mengada-ada ajalah. Nanti apa pulak kata dia.”

Ozalan menoleh mukanya ke arah lain sambil tersenyum sendirian.

“Ummm,” sejurus kemudian Isabelle bersuara. “Aku ini sekadar seorang gadis suruhan, Oja. Tuan Shakranta tu … seorang putera … daripada sebuah wangsa gilang-gemilang. Dia Timbalan Pembesar sekaligus Panglima Agung negeri ini. Mana kan padan pipit sepertiku terbang bersama enggang seperti dia.”

“Kakak … seperti kata orang di sini … ajal maut … dan jodoh pertemuan … semuanya di tangan Sang Pencipta. Kalau sudah ditentukan-Nya … tiada sesiapapun yang dapat menghalang.”

§
“Isabelle masih bersahabat lagi dengan ... anak-anak harimau yang ditemuinya di pinggir hutan dulu?” Kembang Seri Wangi bertanya kepada anaknya yang duduk bersandar di serambi. “Mak khuatir benar ... kalau-kalau haiwan itu tiba-tiba menjadi ganas ... lalu mencederakannya.”

“Tata dengar ... memang mereka masih bersahabat baik, Mak. Mengikut kata Delima Wati anak Mak Embung ... setiap beberapa hari anak-anak harimau itu akan datang ke pinggir hutan ... berhampiran tempat Isabelle biasanya memandikan kuda ... dan memanggil-manggil Isabelle dengan cara mereka sendiri ... supaya datang bertemu mereka ... dan bermain-main dengan mereka. Malah, kini Ozalan dan Delima Wati sendiripun sudah pandai ikut serta. Tapi ... Tata selalu menasihatkan mereka semua supaya ... sentiasa berhati-hati.”

“Habis tu ... kuda-kuda kau tu ... tidak takut dengan anak-anak harimau tu?”

“Kalau betullah seperti cakap Delima Wati ... mulanya di antara kuda-kuda Tata dengan anak-anak harimau tu ... mereka saling berjauhan ... seperti mereka saling membimbangi. Namun, lama kelamaan ... setelah sering bertemu di lata secara terkawal ... di bawah pemerhatian Isabelle ... mereka semakin lama semakin saling menghampiri ... hingga akhirnya di antara mereka ... menjadi sahabat. Malah, kini di antara mereka sampai sudah berani bermain-main bersama-sama dan gurau-bergurau.”

“Heh???” tingkah kembang Seri Wangi dengan nada terperanjat. “Wei lah, si Isabelle tu. Hairan Mak. Entah apa ilmu yang dipakainya. Sampai kudapun boleh berkawan dengan harimau.”

Shakranta sekadar tersenyum bersahaja. Ternyata, ibunya belum lagi menyedari sepenuhnya jajaran bakat dan kemampuan yang ada pada Isabelle. Dan bahawa Isabelle juga, seperti diri ibunya juga, bukan wanita sembarangan, tetapi seorang wanita berhati berani berjiwa serikandi.


§
“Tuan Shakranta,” Isabelle bersuara.

“Ya, Isabelle,” jawab Shakranta. “Ada apa tu?”

“Sepanjang hari ini, Mak Utih akan berada di pasar dengan Pak Utih untuk mendapatkan barang-barang keperluan dapur yang sudah kehabisan. Dia berpesan kepada hamba ... supaya melayani Tuan dari segi makan minum dan sebagainya selama ketiadaannya. Kalau Tuan nak makan atau minum apa-apa, mintalah dengan hamba. Biar hamba buatkan.”

“Ohhh, ya ka?” balas Shakranta. “Kalau begitu, boleh tak kamu buatkan Kita sedikit pengat ubi sarek? Sudah agak lama Kita tidak menikmatinya.”

“Boleh, Tuan. Hamba sudah biasa membuatnya beberapa kali bersama Mak Utih dan Mak Uda. Hamba mula sekarang.”

“Oh! Buatkan lebih sedikit. Kita rasa, ibu Kita pun pasti ingin menjamahnya.”

“Baik, Tuan.”

§        §        §
Shakranta kini semakin hari terasa semakin menebal perasaannya terhadap Isabelle. Seperti disyorkan oleh ibunya Kembang Seri Wangi, kini dia tidak lagi membenarkan Isabelle melakukan kerja-kerja kasar di ladang dan dusun yang biasa dilakukannya, seperti menjaga kuda, memanjat pokok untuk memetik buah-buahan dan sebagainya.

Atas arahan Shakranta, kerja-kerja itu diambil alih sepenuhnya oleh Ozalan dengan di bantu sekali sekala oleh Pak Uda dan Pak Utih apabila perlu. Manakala Isabelle diberi tugas baru membantu kerja-kerja harian Mak Utih dan Mak Uda, di samping membuat kerja-kerja lain di kawasan rumah yang lebih sesuai.

Isabelle pula semakin hari semakin elok dan anggun pembawaannya. Dia tidak lagi berpakaian berserebeh sembarangan di samping sering berwajah comot dengan keadaan tidak terurus seperti dulu. Orang-orang kampung pula, di kalangan mereka telah lama menggelarnya Dewi Rimba, sejak tersebar cerita dia menjinakkan sepasang anak harimau di tengah hutan.

Sesetengah mereka seperti menganggapnya seorang gadis luar biasa yang mempunyai ilmu sakti. Kebetulan pula, kebanyakan mereka sukar hendak menyebut nama asalnya dengan betul kerana pelat mereka yang begitu pekat.

Di kalangan orang-orang yang berkhidmat dengan Shakranta, rata-rata mereka amat menyenangi tingkah laku Isabelle yang tidak sombong tetapi sentiasa ramah mesra dan mudah berbuat kawan, di samping mengagumi kecantikan semula jadi yang sukar ditandingi pada dirinya. Ramai daripada mereka malah dalam senyap-senyap menaruh harapan bahawa suatu hari nanti Isabelle akan bertemu jodoh dengan tuan mereka Shakranta dan menjadi penyeri Mahligai Dharmakusuma.

§
“Tata,” Kembang Seri Wangi menyapa anaknya.

“Ya, Mak,’ jawab Shakranta.

“Sedap benar pengat ubi sarek ni. Empuk dan lembut pula ubinya. Siapakah yang membuatnya?”

“Isabelle, Mak. Tata yang minta dia buat. Kerana Mak Utih keluar ke pasar bersama Pak Utih.”

“Dan ini? Benda putih kuning di dalam mangkuk ni?” Tanya kembang Wangi lagi sambil mencalit sedikit dengan jarinya dan menjilatnya untuk dirasa. “Ummm ... macam susu masam ... tapi berperisa manggis ... dan lazat sekali.”

“Itupun Isabelle juga yang buat. Namanya yoghurt dalam bahasanya. Katanya, ia dibuat dengan memeram susu bercampur ragi hingga masam ... dan dimasukkan pula cebisan buah-buahan sebagai perisa. Yang di dalam mangkuk lagi satu tu ... yang itu berperisa durian.”

“Wei lah! Pandainya anak dara tu. Dah boleh kahwin dah tak lama lagi tu. Mak pun berkenan benar dengan dia. Sopan santunnya … budi bahasanya … tingkah lakunya … memang syahdu perdana sepanjang masa. Siapalah agaknya nanti jejaka bertuah yang akan dapat menawan hatinya nanti.”

Shakranta berpura-pura tidak mendengar kata-kata ibunya yang terakhir itu. Namun riak wajahnya seperti membayangkan sebahagian hatinya sedikit tergugat dengannya. Kembang Seri Wangi sekadar tersenyum bersahaja seorang diri.

“Tata,” Kembang Wangi meneruskan celotehnya. “Berapa umurmu kini?

“Sudah hampir mencecah dua puluh sembilan tahun, Mak. Kenapa, Mak?”

“Kau masih teringatkan kekasihmu di Tambra Lingga dulu? Yang itu … Gadis Mon itu … yang mengikutimu hingga ke kota Hari Hara Laya di Kemboja Negara. Namanya …”

“Savitri?”

“Ya. Savitri. Namanya pun cantik benar. Anak bangsawan kan?”

“Oh. Dia memang seorang gadis yang ayu jelita ... dari golongan bernama dan berada. Namun dia sekadar seorang teman baik, Mak. Hubungan kami ... sungguhpun begitu mesra dan membahagiakan ... tidaklah sampai ke tahap berbincang hal perkahwinan. Lagipun ... kebetulan kami berdua masing-masing masih terlalu muda ketika itu.”

“Aaah … jangan kau cuba berselindung denganku. Dia membuat kau patah hati, bukan?”

“Mak ni …”

“Itulah kau. Mak tau semuanya pasal itu. Heh, Mak pun ada perisik-perisik Mak juga, kau tau.”

“Tak mengapalah, Mak. Perkara itu sudah lama berlalu. Tata tidak mahu mengingatinya lagi.” 

“Baguslah kalau begitu. Ataupun ... mungkin kau ada bertemu kekasih baru … yang lebih cantik daripada Savitri … semasa di Ghazna ... atau di Byzantium. Mak dengar ... gadis-gadis di rantau sana ... semuanya hebat-hebat belaka.”

“Mak ni ... macam main serkap jarang aja,” Shakranta tertawa kecil.

“Hah! Bukannya Mak tak tau kau tu. Pantang terpandang dahi yang licin sikit, terus nak digosoknya. Samalah juga macam mendiang Ayah kau di zaman mudanya dulu. Memang betul seperti kata orang tua-tua. Bapa borek ... anaknya rintik.”

“Mak ni ... ada-ada aja,” Shakranta tertawa lagi.

“Kau masih ingat pesanan mendiang Ayahmu?”

“Ya, Mak.”

“Boleh kau nyatakannya kepadaku?”

“Ayah mahu Tata berkahwin dan memperolehi seorang putera ... sebagai pewaris keluarga Dharmakusuma ... sebelum Mak berusia terlalu tua untuk menimang seorang cucu.”

“Hah! Ingatpun kau rupanya. Namun kau masih membujang lagi sehingga kini.”

“Belum bertemu seorang gadis yang sesuai, Mak.”

“Kau pasti begitu? Atau kau masih ingin merahsiakannya daripadaku?”

“Belum masanya lagi, Mak. Bila tiba masanya yang sesuai nanti, Tata akan beritahu Mak.”

“Bukannya apa, Tata. Cuma … Mak rasa … tak elok sangat kalau kau terus hidup membujang tanpa ikatan terlalu lama … bak kata orang … seperti betung bulat yang tak bersegi … seperti pipit jantan yang tak bersarang.”

“Tak apalah, Mak. Kalau Tata terlalu gopohpun … ada pula yang tak baiknya.”

“Kau dah ada calon yang menawan hatimu?”

“Itu soalan yang agak sukar, Mak. Ia bukan sesuatu yang boleh dijawab dengan tergesa-gesa.”

“Mengapa sukar pulak? Jawapannya ... sama ada ‘ya’ ... ataupun ‘tidak’. Itu saja.”

“Entahlah, Mak. Tata pun ... masih susah nak cakaplah, Mak.”

“Hmmm. Baiklah, Tata. Buat masa ni, kau fikir-fikirkanlah dulu. Mak tak mahu terlalu mendesakmu. Tapi kalau kau memerlukan bantuan Mak dalam perkara ini, Mak tidak keberatan untuk memberikannya.”

“Baiklah, Mak. Tata akan ingat itu.

§
“Maaf, Tuan Shakranta,” Mak Uda bersuara.

“Ya, Mak Uda. Ada apa tu?”

“Hamba membawa pesan Mak Utih dan Pak Utih. Sepanjang minggu ini, mereka tiada di sini. Mereka pulang ke kampung halaman Mak Utih di Tumpat. Kata mereka, sudah lama mereka tidak menziarahi sanak saudara mereka di sana.”

“Ohhh, ya ka? Tapi mereka tidak memberitahuku.”

“Mereka mohon maaf dengan Tuan kerana tidak berkesempatan untuk bertemu dengan Tuan terlebih dahulu. Tapi mereka sudah mendapat izin daripada Puan Kembang Seri Wangi malam tadi. Mereka bertolak awal-awal pagi lagi. Kerana waktu itu masih ada banyak perahu kosong yang bertambat di pinggir sungai menanti penumpang.”

“Ohhh, kalau begitu tak mengapalah. Biarlah mereka berehat seketika ... sambil dapat berpuak dan berkerabat … bertemu mata serta beramah mesra dengan sanak saudara dan sahabat handai mereka.”

“Cuma ... ada seperkara lagi, Tuan.”

“Apa itu? Nyatakanlah.”

“Mengenai soal makan minum Tuan dan juga ibu Tuan. Seperti yang Tuan sedia maklum ... hamba ni ... tidak sehebat Mak Utih dalam soal masak memasak. Setakat yang ringkas-ringkas tu, bolehlah. Jadi, Mak Utih juga berpesan ... jika tiada halangan di pihak Tuan dan ibu Tuan ... agar kali ini dibenarkan ... supaya Isabelle ... dapat mengambil alih tugas-tugas itu buat sementara. Selama menunggu Mak Utih pulang semula. Katanya dia yakin bahawa ... Isabelle akan dapat melayani keperluan Tuan ... dan juga Puan Kembang Seri Wangi ... dengan sebaiknya untuk seminggu ini.”

“Ohhh, itu bukan masalah besar. Janganlah terlalu dirisaukan. Sebelum inipun masakan Mak Uda juga sudah memadai bagi kami dua beranak, ketika Mak Utih tiada. Tapi kalau Isabelle juga boleh melakukannya dengan baik, apa salahnya. Kita cuba pula bagaimana rasa masakannya.”

“Baiklah, Tuan. Kalau begitu, hamba akan membantu dia.”

§        §        §
“Fiuuw!!!” Kembang Seri Wangi bersiul lantang lantas menyanyi-nyanyi sambil menari-nari dan berpeluk-peluk keriangan dengan Mak Utih dan Mak Uda di pekarangan mahligai. “Nampaknya, rancangan kita bertiga berjaya! Berkat kebijaksanaan Mak Utih dan Mak Uda.”

“Wei!” balas Mak Utih. “Puan Kembang Seri Wangi pun, apa kurangnya. “Mengusik dan menyakat Tuan Shakranta kita tak henti-henti … hinggakan dia akhirnya terpaksa beralah dan berterus terang tentang perasaannya yang terpendam sekian lama terhadap Isabelle.”

“Kita bukan setakat berjaya saja,” tambah Mak Uda. “Tapi berjaya sehebat-hebatnya. Hamba perhatikan ... sejak akhir-akhir ni ... Tuan Shakranta kita tu pasti kelihatan resah gelisah kalau sehari tidak melihat kelibat Isabelle. Dan dia tidak senang duduk  kalau … dalam sehari tu … tidak dapat menjamah sekurang-kurangnya satu juadah yang disediakan oleh Isabelle.”

“Itulah namanya cinta,” ujar Seri Kembang Wangi sambil tersenyum bahagia, “Rasa hamba ... kenalah hamba beri sedikit hadiah istimewa buat Mak Utih dan Mak Uda kerana membantu hamba. Dan nampaknya ... kenalah kita buat kenduri besar tahun depan. Agar tertunailah segera hasrat hamba selama ini untuk menimang seorang cucu.”

“Hamba syorkan dibuat kenduri waktu pesta mengetam,” tiba-tiba terdengar suara garau seorang lelaki menyampuk.

“Heh!!!” tempik Mak Utih terkejut besar, lantas terus melatah mencarut-carut mulutnya beberapa ketika hingga akhirnya diredakan oleh Mak Uda. “Wei lah! Pak Uda ni! Buat orang terkejut aja! Mengintip kita pulak kerjanya.”

“Maafkan hamba,” balas Pak Uda sambil tersengih lebar, menampakkan giginya yang rongak di tengah dan berwarna sedikit kemerah-merahan akibat terlalu banyak mengunyah sirih pinang. “Hamba tidak sengaja. Kebetulan hamba lalu berhampiran. Hamba sekadar ingin menumpang gembira dengan berita terbaru ini.”

Kembang Seri Wangi tersenyum bersahaja. Riak wajahnya jelas membayangkan cahaya kebahagiaan yang terpancar di hatinya.

Seterusnya, terdengar bunyi serunai berserta gendang, rebab dan rebana, dengan alunan rentak bunyi-bunyian seperti upacara bersilat ketika kenduri kahwin. Rupanya Pak Utih dan si Ozalan yang bersama-sama memainkannya ... di sebalik sebatang pokok tembesu besar yang dikelilingi rimbunan pokok renek di pinggir pekarangan Mahligai Dharmakusuma.

Maka Pak Uda pun tidaklah tertahan lagi dirinya, naik anginnya, lantas terus membuka langkah, seni dan tari. Menumbuk ke sana, menyepak ke sini, melompat ke udara, menghambur mangsa yang tidak kelihatan. Menepis, menangkis, menikam, mengelak. Berguling-banting di tanah, lengkap dengan pekik dan tempiknya. Mempamerkan segala bunga dan buah dalam ilmu persilatan, daripada setiap apa yang pernah dipelajarinya sepanjang hidupnya.

“Boleh tahaaan,” ujar Mak Utih mengalu-alukan, marahnya terhadap Pak Uda sebentar tadi kini sudah terlupa olehnya. “Tak tahu pula kita selama ini ada orang tu punya bakat terpendam. Memang boleh tahan.”

“Wei lah. Apa pulak tidaknya, Mak Utih. Dia tu … bersama Pak Utih … adalah dua orang guru seni tempur Kita yang pertama di zaman muda mereka dulu. Kita, Nibung dan Pinang … berserta beberapa orang budak-budak lain ketika itu … yang menjadi murid mereka.”

“Ohhh, ya ka begitu?” sampuk Mak Uda. “Baru kini hamba tahu.”

Di akhir persembahan, ketiga wanita itu bertepuk sorak dengan nyaringnya, mengalu-alukan persembahan Pak Uda, Pak Utih dan Ozalan.

Begitulah keadaannya suasana di Mahligai Dharmakusuma dan seluruh kawasan sekitarnya. Dari dalam istana hingga ke pekarangannya, hingga ke ladang, ke dusun dan ke sawah. Ia sentiasa ceria dan bahagia.

Ketika menjalankan tugas, semua orang melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Namun ketika kelapangan, mereka tidak pernah terasa terhalang daripada berbuat apa saja, asalkan tidak melampaui batas, untuk bersuka hati dan bertenang jiwa. Malah tuan mereka sendiripun sering tidak melepas peluang untuk ikut serta.

§
“Tuan Shakranta,” Isabelle bersuara.

“Isabelle, Sayang. Janganlah lagi kau panggil diriku Tuan. Tidak sesuai lagi rasanya dengan keadaan terkini. Kerana … di antara kita berdua … kan akan bertunang dalam beberapa minggu lagi? Dan bakal bersatu secara rasmi menjadi suami isteri di waktu pesta mengetam nanti.”

“Baiklah. Dari saat ini … hamba panggil … Abang Shakranta. Sesuai ka?”

“Sesuai benar itu, Sayang. Tapi kalau ... Abang Tata ... itu malah lebih mesra lagi.”

“Baikklah ... Abang Tata. Ummm … bolehkah kiranya hamba bertanya sedikit?”

“Tentu boleh, Sayang. Apa dia tu?”

“Abang … sudah benar-benar yakinkah … dan sudah benar-benar pastikah … dengan keputusan yang Abang buat ini?”

“Mengapa pula tidak, Isabelle? Kerana Abang sebenarnya memang telah lama mengagumimu. Cuma … Abang tidak dapat meluahkan perasaan Abang lebih awal lagi daripada ini.”

“Kerana?”

“Kerana Abang merasakan dirimu masih terlalu muda … dan … Abang juga sukar untuk menjangka perasaanmu sendiri terhadap Abang … dan sambutanmu terhadap hasrat Abang.”

“Abang tidak akan menyesali keputusan Abang ini di hari muka?”

“Tidak mungkin. Kerana Abang telah berulang kali memikirkannya dengan sehabis panjang lebar dan sedalam-dalamnya. Kamu masih meragui kasih Abang?”

“Bukan begitu, Abang. Cuma … hamba sedikit bimbang. Maklumlah … hamba ini … ibarat sekadar seekor pipit. Layakkah pipit kerdil terbang bersama enggang yang gagah perkasa?”

“Isabelle, janganlah itu yang kamu bimbangkan. Abang sudah lama memerhatikanmu … mengamati segala-segalanya tentang dirimu. Sifat-sifatmu, julat bakat serta kemampuan yang ada pada dirimu, utuhnya perwatakanmu, halusnya bicara dan tingkah lakumu. Semuanya itu mengatasi sebarang puteri yang pernah Abang temui di seluruh rantau ini.” 

“Mengapa Abang tidak berterus terang sahaja tentang hasrat Abang sejak dari dulu lagi?”

“Kerana … Abang khuatir kalau-kalau … kau menerima Abang bukan dengan sepenuh rela hati … tetapi ... dalam keadaan terpaksa. Dan Abang tidak mahu itu.”

“Abang sentiasa begitu teliti dan … begitu halusi. Itulah yang membuat hamba begitu mengagumi Abang. Sejak dari dulu lagi.”

“Sejak dari bila tu?”

“Sejak pertama kali kita bertemu. Di kota Konstantinople. Di Byzantium. Hampir tujuh tahun yang lalu.”

“Isabelle! Kamu bergurau, kan?”

“Mengapa pulak?”

“Kerana ketika itu kamu baru saja berumur dua belas tahun.”

“Abang. Wanita itu lebih cepat matang jiwanya daripada lelaki. Lelaki lebih banyak bergantung dan berpegang pada akalnya. Serta pertimbangannya. Tetapi wanita, nalurinya lebih hebat. Itu adalah anugerah Sang Pencipta kepada kaum kami.”

“Lalu apa yang nalurimu memberitahumu tentangku ketika itu?”

“Bahawa Abanglah orangnya yang tepat bagiku. Kalau tidak, masakan daku begitu beria-ia mengajumkan Abang supaya membeliku.”

“Begitu sekali?”

“Ya. Begitu sekali.”

“Sebabnya?”

“Kerana di wajah Abang terpancar keberanian asli seorang kesatria sejati. Namun ia jelas bertapak pada jiwa luhur yang penyayang dan berbudi. Itulah yang daku idamkan pada seorang lelaki.”

§
Atas nasihat Mak Utih, Isabelle dihantar ke rumah seorang saudara Mak Utih, iaitu Mak Andak namanya, untuk tinggal di sana barang sebulan dua sebelum hari kenduri. Mak Andak dan Pak Andak suami isteri rumah mereka di pinggir kampung. Maka itu membolehkan rombongan Puan Kembang Seri Wangi datang merisik dan meminang terlebih dahulu. Kata Mak Utih, lebih manis begitu mengikut adat penduduk di Amdan Negara.

Kebetulan Mak Andak sekelamin tidak mempunyai anak. Atas cadangan Shakranta pula, Ozalanpun ikut sama dengan Isabelle sebagai menemaninya. Mak Andak dan Pak Andak begitu gembira kerana tiba-tiba mendapat dua orang anak angkat sekaligus. Begitupun, Ozalan tetap menjalankan tugas-tugasnya menjaga kuda di waktu siang hari.

Hari pernikahan Shakranta dan Isabelle kini semakin menjelang tiba. Seluruh kaki tangan Mahligai Dharmakusuma semuanya sibuk dengan tugasan masing-masing untuk membantu menjayakan kenduri kahwin tuan mereka.

Mak Andak rupanya punya bakat terpendam sebagai mak andam. Seminggu sebelum hari perkahwinan, dia memandikan Isabelle setiap hari dengan air beraneka bunga berserta bermacam ramuan khas, agar menaikkan lagi serinya.

Sementara Mak Utih mencipta Sanggul Lintang gaya Melayu Jambi yang begitu anggun untuk dipakai oleh Isabelle. Maka apabila dipakaikan di kepala, pelbagai bebunga dan kekupu emas, perak serta suasa menyilau bergemerlapan seolah-olah menjelma hidup menari-nari di pengepit rambut pemakainya.

Mak Uda pula menjahitkan pakaian pengantin untuk Isabelle. Aneka ciptaan dihasilkannya. Baju kebaya yang adiwarna corak kainnya dan pelbagai gaya ... gaya Kedah, Manjung, Kelantan, Pahang, Gelanggi dan lain-lain lagi ... semuanya cantik-cantik belaka. Dipadankan dengan pelbagai kain songket Bokhara, Samarkhand dan Konstantinople, pemberian daripada Sultan Mahmud dan Maharaja Basileios, yang dibawa balik oleh Shakranta dari Ghazna dan Byzantium tujuh tahun yang terdahulu.

Manakala Pak Utih rupanya pandai membuat destar. Diciptanya lima jenis destar yang berlainan rekanya buat dipakai oleh tuannya Shakranta. Dendam Tak Sudah yang sungguh adikara gayanya. Kacang Dua Helai Daun dan Olang Menyongsong Angin yang mewah hebat rupanya. Sarang Kerengga yang gilang-gemilang bentuknya. Solok Timba yang indah anggun ciptaannya.

Setiap khidmat khas kakitangannya yang lain daripada tugas-tugas biasa semuanya diberi ganjaran lumayan oleh Puan Kembang Seri Wangi. Demikanlah caranya, tidak gemar mengambil kesempatan sewenang-wenangnya ke atas sesiapapun orang suruhannya. Sebaliknya, tidak melepas sebarang peluang untuk membuat mereka bahagia.

§        §        §

No comments:

Post a Comment